Remy Ishak selesa naik pengangkutan awam


REMY ISHAK tidak akan mengambil cuti lama sewaktu Syawal kerana terlibat dengan penggambaran drama dan filem.

SEKITAR pertengahan Mac lalu, aktor popular Remy Ishak diduga dengan kehilangan kereta kesayangannya.

Kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton berwarna hitam yang telah digunakan Remy hampir enam tahun itu hilang ketika dia singgah di sebuah kedai berhampiran rumahnya selepas tamat latihan pementasan teater di Istana Budaya.

Kini, biarpun hampir tiga bulan kisah hitam itu berlaku, Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimie Ishak, masih tidak mendapat sebarang perkhabaran gembira tentang kehilangan tersebut.

Reda dengan dugaan terhadap dirinya, lelaki berusia 34 tahun itu mengakui kini selesa menggunakan pengangkutan awam.

Malah, hikmah di sebalik kehilangan tersebut juga mengembalikan memorinya tentang kehidupannya sebelum berkereta.

KOSMO!: Bagaimana dengan perkembangan terkini kehilangan kereta Remy?

REMY: Setakat ini saya masih belum mendapat sebarang berita tentang kehilangan kereta saya itu. Saya tidak tahu dan masih menunggu keputusan daripada pihak polis.

Adakah anda sudah membeli kereta baharu?

Belum lagi, setakat ini saya hanya menggunakan pengangkutan awam seperti teksi dan LRT untuk keluar. Bukan tidak mahu membeli kereta tetapi saya ingin kembali merasai keadaan seperti dahulu.

Bagaimana dengan pergerakan untuk bekerja sepanjang tempoh ini, tidakkah anda berasa sukar untuk bergerak?

Pada saya selagi berada dalam Kuala Lumpur, ia tidak membawa sebarang masalah jika tiada kenderaan sendiri. Jika saya terlibat dengan penggambaran, pihak produksi akan menyediakan pengangkutan dan apabila mempunyai urusan perniagaan, rakan pula akan menumpangkan saya. Saya tidak berasa sukar kerana pada masa sama ia boleh membataskan pergerakan, tambahan pula saya tiada masa untuk diri sendiri dan bersosial. Semua masa saya hanya untuk bekerja.

Beralih tentang Ramadan, boleh kongsikan aktiviti anda sepanjang bulan mulia ini?

Aktiviti saya sepanjang Ramadan ini dipenuhi dengan penggambaran drama Khabar Dari Casablanca. Selain itu, saya juga terlibat dengan aktiviti jualan bonet kereta untuk produk keluaran saya di Laman Cempaka Istana Budaya. Aktiviti jualan ini berlangsung pada setiap hujung minggu sahaja.

Bagaimana pula dengan persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri?

Kebiasaannya setiap kali menjelang raya saya akan membuat persiapan pada minggu terakhir Ramadan.

Apabila semakin meningkat umur ini, saya tidak begitu memberi keutamaan terhadap persiapan pakaian, tetapi lebih kepada keluarga dan anak-anak saudara.

Jadi, jika bercakap tentang persiapan diri, saya akan melakukannya pada saat-saat akhir sahaja. Mungkin saya akan memakai baju saya sendiri nanti iaitu By Remy Ishak.

Adakah anda akan bercuti lama dan mungkin boleh kongsikan keistimewaan Syawal tahun ini berbanding yang lepas?

Saya tidak akan bercuti lama kerana masih lagi terlibat dengan penggambaran drama dan filem selepas raya nanti.

Sebenarnya setiap tahun sambutan hari raya sudah memberi keistimewaan buat saya kerana membolehkan kita berkumpul beramai-ramai bersama keluarga.

Post a Comment

Previous Post Next Post