REDA - Walaupun tidak sempat menatap wajah arwah bapanya buat kali terakhir, Nonny reda dengan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah. Menurut Nonny, dia berharap agar arwah bapanya kini ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
DUA kelopak mata wanita itu kelihatan sedikit redup apabila diajak berbicara mengenai persiapan hari rayanya tahun ini. Sesekali, nada suaranya berubah, menandakan ada rasa sebak yang bercambah sepanjang tempoh perbualan.
Bukan sengaja membiarkan dirinya terus diselubungi rasa sebal, gelora jiwa yang sedang bergelojak dalam diri pelakon Nonny Nadirah Zainuddin hadir tanpa paksaan.
Bakal melewati bulan Syawal pada tahun ini tanpa kehadiran bapa tercinta, Nonny membingkiskan kerinduan terhadap arwah bapanya, Zainuddin Abdullah yang pergi menghadap Ilahi pada 30 Disember tahun lalu.
“Persiapan hari raya pada tahun ini agak berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Dulu, sebaik sahaja tiba bulan Ramadan, saya sudah mula menyediakan peruntukan untuk persediaan Aidilfitri bagi emak dan ayah yang berada di kampung. Ketika itu juga, saya berasa sangat teruja.
“Namun, sejak ketiadaan ayah, perasaan teruja bertukar menjadi duka. Sejujurnya, saya berasa sangat rindu untuk menyediakan kelengkapan hari raya untuknya,” ujar Nonny ketika ditemui pada majlis tayangan program hari raya Media Prima di Hotel JW Marriott, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pemergian bapanya bukanlah satu hakikat yang mudah untuk ditelan, memandangkan ia berlaku di luar dugaan. Zainuddin disahkan meninggal dunia akibat lemas di laut selepas mayatnya ditemui dalam keadaan terapung di persisiran pantai di Kampung Tanjung Aru Baru, Sabah.
Barangkali, tiada kelompok kata-kata yang mampu untuk diungkap oleh Nonny bagi meluahkan rasanya sewaktu menerima perkhabaran tersebut. Hal ini kerana, bekas peserta Akademi Fantasia musim kelima itu sedang menghabiskan rakaman bagi drama bersiri Cinta Hati Abah yang mengangkat kisah hubungan antara seorang anak dan bapa.
Lebih ironi, watak bapa yang digalas oleh pelakon Esma Daniel dalam naskhah arahan Azmi Hatta itu turut mengalami nasib yang sama dengan Zainuddin, mati lemas ketika keluar menangkap ikan di laut.
Sudah hampir enam bulan tragedi tersebut berlaku, wanita berusia 27 tahun itu mengakui masih terkesan dengan apa yang telah menimpa dirinya sekeluarga.
Namun, di sebalik rasa sebak dan rindu yang menghenyak bertalu-talu, menderu secebis kelegaan dalam diri Nonny kerana berkesempatan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang anak sebelum ayahnya pergi.
“Alhamdulillah, sepanjang bekerja di Kuala Lumpur, saya tidak pernah lupakan tanggungjawab untuk membantu ayah, ibu dan keluarga.
“Sungguhpun hari raya tahun ini dijangkakan sedikit sunyi, namun saya akan membawa memori manis sepanjang kami beraya bersama dan menyimpannya dalam ingatan sampai bila-bila,” katanya yang masih mengekalkan kesederhanaan dalam menyediakan persiapan hari raya tahun ini.
Bisnes
Ditanya mengenai aktiviti lakonannya sepanjang Ramadan, Nonny berkata, ketibaan bulan puasa merupakan tempoh masa terbaik baginya untuk berehat panjang sambil menenangkan fikiran.
Ujar Nonny, kesempatan ini juga diambil bagi memasarkan produk makanan ringannya, Nonny Crispy Seaweed secara sepenuh masa dengan lebih meluas.
“Sejak tahun lalu, tawaran berlakon datang tidak putus-putus sehingga menyebabkan saya langsung tiada masa untuk berehat.
“Jadi, untuk Ramadan tahun ini, saya memutuskan untuk berhenti seketika dan memberi fokus pada perniagaan. Biarpun dijalankan secara kecil-kecilan, namun saya rasa gembira kerana dapat memberikan fokus kepada produk yang diniagakan,” ujar Nonny yang membuka gerai menjual makanan ringan di pusat beli-belah e@Curve Mutiara Damansara, Selangor sepanjang bulan Ramadan.
Melanjutkan bicara mengenai penglibatannya dalam bidang perniagaan, Nonny berkata, dia kini sedang dalam perancangan untuk mengeluarkan produk kecantikan untuk golongan wanita.
Namun, kongsinya, dia tidak mahu tergesa-gesa kerana masih mencari formula yang bersesuaian bagi masalah kulit wanita di Malaysia.
“Tujuan saya mengeluarkan produk ini kerana mahu membantu pengguna yang mempunyai masalah kulit. Sebab ramai yang terpengaruh menggunakan produk tidak berkualiti sehingga menyebabkan masalah yang dialami bertambah teruk.
“Jadi, saya berharap dapat membantu mereka yang mahukan kulit wajah sihat tanpa sebarang cela dan masalah,” ujarnya yang masih belum mempunyai sasaran bilakah produk tersebut bakal dilancarkan.
Relevan
Sedar atau tidak, usia Nonny dalam industri hiburan kini sudah menjangkau sembilan tahun. Bermula sebagai penyanyi, kompas kariernya bagaimanapun berubah ke arah bidang lakonan, menjadikannya lebih dikenali sebagai aktres di layar kaca.
Cermat mewarnai kanvas seninya sebagai seorang pelakon, Nonny berkata, dia masih menyimpan hasrat untuk kembali menyanyi, namun, masih memerlukan masa untuk mendapatkan material yang bersesuaian.
“Saya akui, rezeki dalam bidang lakonan lebih banyak berbanding nyanyian. Sebagai seorang manusia, tidak molek jika saya menolak rezeki pemberian Allah.
“Buat masa ini, saya memberi fokus kepada bidang lakonan. Namun, saya masih merancang untuk meneruskan kerjaya nyanyian jika keadaan mengizinkan,” katanya yang masih menerima tawaran nyanyian secara tertutup.
Berkenaan dengan karier lakonannya, Nonny berkata, dia kini lebih berhati-hati dalam memilih naskhah supaya apa yang dipersembahkan kelak mampu memberi kepuasan kepada dirinya dan juga peminat.
“Saya bukan mahu mengelaskan diri saya sebagai pelakon yang memilih tetapi saya harus meneliti terlebih dahulu karya yang ditawarkan supaya hasil akhirnya tidak mengecewakan,” ujar Nonny mengakhiri perbualan.