Awal & Scha Ramadan di Tanah Suci


Bulan Ramadan merupakan bulan suci dalam kalendar Islam yang penuh dengan barakah. Kehadirannya dirindui dan dinanti setiap umat Islam seluruh dunia.

Tidak dinafikan, selain berpuasa, kedatangan bulan suci ini menjadi medan buat umat Islam berlumba-lumba mengumpul sebanyak mungkin pahala dan mencari keberkatan Ilahi.

Begitu juga dengan pasangan pelakon dan pengacara popular Awal Ashaari bersama isterinya, Scha Al-Yahya. Mengambil keberkatan Ramadan, pasangan ini bakal menunaikan umrah selama dua minggu bermula 12 sehingga 22 Jun ini.

Tidak ketinggalan, anak mereka si comel yang tidak kurang popular, Lara Alana turut dibawa ke tanah suci Mekah.

“Sebenarnya, kami sudah lama merancang untuk menunaikan umrah sejak daripada lepas berkahwin dahulu. Selepas empat tahun tempoh perkahwinan, alhamdulillah kini baru mendapat seru dan saya rasa inilah masa sesuai untuk ke sana.

“Kami akan berada di sana selama dua minggu. Selain Lara, saya akan membawa ibu dan ayah serta ibu mertua termasuk pembantu kami yang akan membantu menjaga Lara nanti,” beritahu Awal tentang perancangan Ramadan tahun ini.

Menyifatkan panggilan menunaikan umrah ketika bulan Ramadan sebagai rezeki yang tidak terhingga buat mereka sekeluarga, Awal berkata, semua perancangan dibuat hanya dalam masa singkat.

“Ia memang rezeki buat kami kerana sebelum ini pernah merancang bertahun-tahun untuk menunaikan umrah tetapi rancangan itu tidak menjadi.

“Secara kebetulan apabila saya menelefon agensi dan mereka mempunyai slot kekosongan pada tarikh 12 hingga 22 Jun, kami terus bersetuju untuk pergi pada tarikh tersebut,” jelasnya.

Ditanya mengenai Lara yang akan turut serta nanti, isteri Awal, Scha memberitahu, pada awalnya dia mencadangkan untuk tidak membawa anak mereka kerana tidak dapat menjangka situasi semasa di sana.

Bagaimanapun, suaminya pula inginkan Lara dibawa sekali untuk memberi peluang kepada puteri comel berusia dua tahun itu menziarahi tempat-tempat bersejarah di sana.

“Kami tidak pernah pergi ke sana, dan tidak dapat menjangka situasinya nanti, tambahan pula kita ingin menunaikan ibadah. Saya pernah mencadangkan untuk tidak membawa Lara tetapi Awal pula sebaliknya.

“Mungkin ketika proses tawaf atau ketika menjalankan ibadah umrah dijalankan, Lara akan tinggal bersama pembantu di bilik. Kami akan membawanya apabila perlu sahaja,” Kata Scha yang ditemui bersama Awal dan Lara Alana semasa pelancaran koleksi raya Schawalara X Jakel di Jakel Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.


PROMOSI Antara lokasi untuk promosi koleksi mereka itu nanti termasuk cawangan Jakel di Johor Bahru, Sungai Petani dan Alor Setar.

Koleksi

Bercakap mengenai koleksi tersebut, Awal memberitahu, kerjasama dengan Jakel terjalin ketika dia menyuarakan hasrat untuk mengeluarkan baju Melayu sendiri.

“Sebenarnya saya sudah lama berhasrat untuk mempunyai baju Melayu rekaan sendiri. Bagaimanapun, saya tidak mahu menjadi duta tetapi ingin menjadi pengeluar seperti rakan lain yang sudah mempunyai jenama pakaian sendiri.

“Hampir empat tahun juga saya mencari pengilang yang boleh memberikan harga mampu milik tetapi semuanya menawarkan harga tinggi. Jadi, apabila berjumpa dengan Pengarah Urusan Jakel, Datuk Mohamed Feroz Mohamed Jakel, kami terus bersetuju untuk bekerjasama,” jelasnya panjang lebar.

Menambah bicara, idea tersebut kemudian dikembangkan apabila Feroz menawarkan untuk mengadakan koleksi baju raya untuk isteri dan anaknya juga. Tidak mahu menolak rezeki, Awal terus menerima tawaran tersebut.

Koleksi Schawalara menampilkan sebanyak 30 warna untuk baju Melayu, 15 warna jubah lelaki, manakala hampir 50 rekaan baju wanita. Koleksi baju raya Lara Alana pula menawarkan baju untuk kanak-kanak berumur sehingga 12 tahun.

Diusik dengan pertanyaan, rekaan baju kanak-kanak lelaki, sambil tertawa Awal memberitahu, mereka belum mempunyai anak lelaki, jadi koleksi hanya terhad untuk kanak-kanak perempuan.

“Kita akan mengadakan promosi untuk koleksi ini. Saya akan pergi ke sebanyak tujuh lokasi promosi, manakala isteri dan anak saya akan turun padang di empat lokasi sahaja.

“Alhamdulillah, selain beribadah dalam bulan Ramadan ini , masa kami dipenuhi dengan aktiviti perniagaan baju raya. Kami juga akan mengeluarkan kuih raya sendiri,” ujar lelaki itu teruja.


Populariti Lara

Meneruskan bicara, pasangan itu kemudian dijentik soal populariti anak mereka yang kini sudah mengumpul sebanyak 1.8 juta pengikut di Instagram, sekali gus mengangkat Lara sebagai pemenang Personaliti Media Popular dalam Anugerah Bintang Popular ke-29 baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, si comel kesayangan ramai itu turut mencipta sejarah sebagai kanak-kanak pertama yang bakal mempunyai rancangan realiti sendiri selain ditawarkan menjadi duta produk.

Ironinya, di sebalik populariti tersebut wujud pula dakwaan liar mengatakan Awal dan Scha menggunakan anak untuk mencari keuntungan.

Menyifatkan dakwaan tersebut sebagai kasar, Awal menjelaskan, tiada istilah menggunakan atau menjual anak kerana mereka akan menapis setiap tawaran yang datang kepada Lara.

“Kebiasaannya kami akan menapis dahulu sebelum menerima tawaran untuk Lara. Setiap penampilannya sebelum ini juga selalunya yang mempunyai kaitan dengan dia. Pernah juga dia ditawarkan untuk menghadiri majlis perasmian pecah tanah atau penampilan khas dalam pertunjukan fesyen, namun tawaran-tawaran sebegitu kami akan menolaknya.

“Jika benar kami hendak menggunakan Lara, sudah pasti semua tawaran yang boleh mendatangkan hasil kami akan terima tetapi perkara itu tidak berlaku,” tegasnya.

Di sebelah Awal, Scha turut bersetuju dengan kenyataan suaminya. Dengan tenang wanita itu menambah, perhatian dan perihal populariti yang sedang dikecapi Lara bukanlah perkara dirancang.

“Populariti yang diterima Lara kini sebenarnya bukan kami rancang. Saya juga pernah membantah ketika Awal ingin membuka akaun Instagram Lara dahulu tetapi suami cakap buat sahaja.

“Setakat ini dia masih budak, memang selalu orang sayang dan saya percaya anak-anak orang lain juga begitu. Mungkin nanti, apabila Lara sudah besar dia tidak dapat semua yang dirasai sekarang. Bagaimanapun, perkara itu terlalu jauh untuk difikirkan sekarang.

“Mungkin ketika Lara melangkah masuk ke sekolah rendah nanti, baru kami akan kurangkan penglibatannya dalam industri kerana tidak mahu fokus kepada pembelajarannya terganggu,” simpul Scha.

Post a Comment

Previous Post Next Post