
PERNAH merehatkan operasi selama setahun kerana fokus terhadap pelajaran, kini Payslip yang dianggotai oleh (dari kiri) Jimmy, Arif dan Akeem kembali aktif dengan aktiviti nyanyian.
USIA setahun jagung bukanlah penghalang untuk mencipta kejayaan. Bagi tiga anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai kumpulan Payslip, biarpun bergelar kumpulan remaja kerana baru berusia belasan tahun, namun tuah menyebelahi mereka selepas diberi kepercayaan membawakan lagu tema filem Angry Birds berjudul Wonderful Life dalam versi bahasa Melayu.
Teruja dan berbangga kerana dipilih untuk menyanyikan lagu nyanyian asal oleh DJ Matoma itu, Mohd. Asrul Hakimi (Akeem), Mohd. Asrul Najmi (Jimmy) dan Nik Muhamad Arif (Arif) berkata, ia adalah pengalaman paling berharga yang dilalui mereka sejak empat tahun bergelar penyanyi.
“Kami tidak sangka dipilih sebagai penyanyi mewakili Malaysia untuk membawa lagu tema filem popular seperti Angry Birds. Mungkin kerana status sebagai band remaja membuatkan kami lebih sesuai untuk membawakan lagu itu.
“Apabila pihak Warner Music memberitahu tentang projek itu, perasaan kami sangat teruja. Selepas lagu ini keluar di corong-corong radio tempatan, perasaan itu bertambah kerana rata-rata peminat suka terutamanya kanak-kanak.
“Pencapaian ini sedikit sebanyak membanggakan buat kami yang masih belum cukup matang berada dalam industri kerana diberi kepercayaan menggalas tugas besar membawa lagu tema filem popular,” ujar vokalis kumpulan itu, Akeem, 18.
Kata Akeem lagi, mereka beruntung kerana dipilih menyanyikan lagu itu kerana sedikit sebanyak ia mampu menaikkan kembali nama Payslip selepas terpaksa direhatkan daripada dunia seni selama setahun.
Mengimbas kembali perjalanan seni ketiga-tiga anak muda itu, ironinya, nama mereka mula dikenali sekitar dua tahun lalu menerusi single Syurga Sang Cinta. Namun, dek kerana masih terikat dengan tanggungjawab sebagai pelajar sekolah, kumpulan mereka terpaksa direhatkan seketika untuk memberi fokus kepada pelajaran.
“Sejak muncul dalam industri, lagu yang menaikkan nama kami adalah Syurga Sang Pencinta. Tetapi, atas sebab ingin memberi perhatian kepada persekolahan dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu, kami terpaksa berehat seketika. Disebabkan itu kami tiada sebarang produk baharu.
“Selepas tamat SPM, barulah kami kembali fokus dengan kumpulan memandangkan saya dan Arif menyambung pengajian pada peringkat diploma dalam bidang muzik.
“Jadi, dengan adanya lagu Wonderful Life ini setidaknya boleh membantu menaikkan kembali nama dalam industri sekali gus untuk masa hadapan juga,” ujar pemain basisnya, Jimmy yang kini sedang melanjutkan pengajian di Management Science University (MSU), Shah Alam, Selangor.
Pada awalnya, Payslip yang ditubuhkan pada tahun 2012 mempunyai empat orang ahli kumpulan sebelum bekas pemain dram, Shazwan atau Wan mengambil keputusan untuk mengundur diri pada awal tahun lalu.
“Shazwan terpaksa mengundurkan diri kerana ingin menyambung pelajaran. Sebagai rakan dan ahli kumpulan, kami hormat dengan keputusannya. Walaupun tanpa pemain dram, Alhamdulillah setakat ini kami masih mampu bergerak untuk melakukan sebarang persembahan dengan menggunakan khidmat pemain gantian,” ujarnya.
Berbicara tentang ibadah bulan puasa pada tahun ini, ketiga-tiga anak muda itu mengakui sambutan Ramadan dan Aidilfitri mereka sedikit berubah sejak bergelar artis.
“Insya-Allah, tahun ini kami banyak menyertai program kebajikan bersama anak-anak yatim seperti bersahur anjuran syarikat rakaman, Warner Music Sdn Bhd.,” ujar Arif sambil mengakui sambutan raya mereka sedikit berubah selepas bergelar artis apabila ramai peminat ingin bergambar.