Emma Maembong tidak penat berlakon


TAKUT BOSAN - Mengelak untuk digandingkan bersama kekasihnya, Kamal Adli di dalam sesebuah naskhah, Emma Maembong tidak mahu penonton bosan melihat gandingan mereka berdua.

SEBAGAIMANA Ramadan disifatkan bulan yang penuh dengan barakah dan keistimewaan, begitu juga dengan aturan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT di sebalik kemunculan bulan suci tersebut.

Bagi dramatis popular, Emma Maembong, seiring mengerjakan ibadah berpuasa bersama umat Islam yang lain, rutin hariannya sebagai pelakon turut berjalan seperti biasa.

Biarpun sedikit keletihan, Emma tetap memberikan komitmen dan fokus terbaik memandangkan karier pilihannya itu merupakan rezeki yang telah diamanahkan oleh Tuhan.

“Buat masa ini, saya sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Assalamualaikum Cinta bersama Kamal Adli, Saharul Ridzwan dan Ayda Jebat.

“Mungkin ada yang pelik, mengapa saya tidak memperlahankan aktiviti seni sepanjang bulan Ramadan. Hakikatnya, rutin seperti ini sudah diamalkan sejak saya bergelar pelakon empat tahun lalu. Lagipun, tidak molek rasanya untuk menolak rezeki demi kelangsungan karier,” ujarnya ketika ditemui pada majlis rakaman Melodi Raya di Hotel Royale Chulan Damansara, Selangor baru-baru ini.

Bagaimanapun, menurut pemilik nama sebenar Fatimah Rohani Ismail itu, dia masih mengamalkan asas disiplin yang sama iaitu tidak menerima dua tawaran berlakon dalam masa serentak.

“Saya memang tidak gemar mengambil banyak tawaran dalam satu-satu masa. Biarlah saya fokus kepada sebuah naskhah sebelum beralih ke naskhah seterusnya,” tegas wanita berusia 24 tahun itu.

Sejak kebelakangan ini, landskap industri hiburan tempatan sering diserikan dengan kehadiran barisan pelakon baharu.

Bagaikan sudah menjadi satu trend, pelakon-pelakon ini turut diberi kepercayaan untuk menghiasi slot utama drama rantai dan telefilem di layar kaca.

Seperti sebuah kitaran yang bergerak dalam satu perkadaran yang sangat pantas, hayat mereka dalam industri juga tidak kekal lama. Proses tersebut akan berulang apabila ada pelakon baharu lain diberi peluang seumpamanya.

Mengakui tidak terkesan dengan situasi tersebut, Emma menjelaskan, hala tuju kerjayanya sebagai seorang pelakon masih meluncur sama seperti dahulu.

Ujar pelakon telefilem Hantu Selfie itu, dia tidak pernah meletakkan sebarang label pada status kariernya, apatah lagi mengiyakan pendapat pernah menawan puncak populariti beberapa tahun lalu.

“Saya tidak pernah meletakkan diri sebagai seorang pelakon popular. Bagi saya, diri saya masih seperti dulu, tidak banyak yang berubah.

“Hidup perlu diteruskan dan kerjaya sebagai pelakon juga tetap berjalan seperti biasa. Sebab itu, saya sentiasa bersyukur kerana tidak pernah putus rezeki yang diberikan,” ujar Emma sambil tersenyum.

Melanjut bicara mengenai gosip yang mengatakan kebanyakan pelakon baharu bersikap memilih dan enggan bekerjasama dengan pelakon lain, Emma berkata, dia sentiasa menghormati pilihan produksi dan sentiasa bersikap terbuka dan profesional apabila tiba soal kerja.

“Jika sesebuah produksi itu telah memutuskan untuk menggandingkan saya dengan pelakon pilihan mereka, saya sentiasa menerima dengan jiwa yang terbuka.

“Bukan sifat saya untuk menolak atau memilih rakan artis yang akan bergandingan dalam naskhah drama atau filem yang akan saya lakonkan,” jelas Emma positif.

Elak bosan

Terlanjur berbicara mengenai pilihan pelakon, Emma turut menegaskan, gandingan bersama kekasih hatinya, Kamal Adli turut ditentukan oleh produksi dan permintaan peminat.

“Harus diakui, Assalamulaikum Cinta menyaksikan gandingan kelima antara saya dan Kamal. Saya sedikit risau jika khayalak akan mula bosan melihat gandingan kami di kaca televisyen.

“Namun, saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana ia merupakan permintaan stesen televisyen setelah mendengar permintaan daripada peminat,” tutur Emma yang cuba untuk tidak berlakon dengan Kamal secara kerap pada masa akan datang.

Tidak seperti pasangan kekasih yang lain, Emma akui, kesibukannya melunaskan tanggungjawab dalam membawakan watak Emma Harlini menerusi drama arahan Michael Ang itu menyebabkan dia dan Kamal tidak berpeluang untuk menghabiskan masa bersama.

“Disebabkan saya dan Kamal terlibat dalam satu produksi yang sama, jadi, setiap hari kami akan berjumpa dan berbuka puasa di lokasi.

“Jadual agak padat dan saya sendiri tidak berkesempatan untuk berbuka dengannya di luar. Malah, saya juga masih belum berkesempatan untuk berbuka puasa dengan teman-teman rapat,” kata Emma yang sempat berbuka puasa dan menyambut kedatangan 1 Ramadan bersama ayahnya, Ismail Embong baru-baru ini.

Sebelum menutup bicara, Emma sempat berkongsi mengenai persiapannya untuk menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Kongsi Emma, dia banyak bergantung pada kemudahan aplikasi WhatsApp untuk berkomunikasi dan bertanya pendapat dengan ahli keluarganya.

“Apabila sibuk di lokasi penggambaran, pilihan yang paling mudah adalah berkomunikasi menerusi pesanan WhatsApp. Di situ, kami akan berbincang mengenai baju raya dan persediaan yang akan dilakukan kelak,” katanya yang masih belum berkesempatan untuk membeli busana hari raya tahun ini.

Pada masa yang sama, Emma turut merancang untuk bercuti selama dua minggu bagi menghabiskan masa bersama ayahnya.

“Saya merancang untuk bercuti dan menghabiskan masa bersama ayah sempena kedatangan Aidilfitri tahun ini.

“Namun, kami masih belum memutuskan destinasi pilihan untuk percutian tersebut,” tutup Emma.

Post a Comment

Previous Post Next Post