Chef Wan masih rancak keliling dunia


Chef Wan menyifatkan menghabiskan masa di rumah tanpa melakukan sebarang pekerjaan suatu kerugian baginya.

AGAK lama tidak mendengar kisah tentang chef selebriti popular, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih mesra dengan gelaran Chef Wan.

Menginjak ke angka 59 tahun usianya, beliau kini masih tetap aktif dan lincah seperti dahulu. Bukan itu sahaja, malah figura itu kini sedang sibuk mengembara ke seluruh dunia dan terlibat dengan pelbagai program masakan tempatan mahupun antarabangsa.

Ditemui pada majlis perasmian Buffet Ramadan di Jardin Villa, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Chef Wan sempat diaju perihal perkembangan terkini dirinya.

KOSMO!: Apa khabar? Boleh kongsikan perkembangan terkini Chef Wan?

Chef Wan: Alhamdulillah, khabar baik. Saya baru sahaja pulang daripada penggambaran program Kembara Chef Wan musim ketiga terbitan Astro. Program ini merupakan jurnal pengembaraan seorang chef yang melawat ke negara luar dan mempelajari budaya masyarakat di luar negara. Jika musim lepas, penggambaran dijalankan di sekitar Eropah, dalam musim ketiga ia dibuat di Amerika Latin seperti Brazil, Argentina dan Chile. Saya berada di sana selama 42 hari, dan insya-Allah selepas Hari Raya Aidilfitri nanti, penggambaran akan di sambung ke Mexico dan Cuba.

Berapa jumlah lokasi yang akan dilawati dan adakah semua lokasi ini akan dimuatkan dalam satu musim sahaja?

Kru produksi tidak menetapkan jumlah lokasi sebenar, ia bergantung pada seberapa banyak yang saya boleh pergi. Sebenarnya, rancangan Kembara Chef Wan hanya mempunyai 13 episod dalam satu musim, jadi penggambaran ini dibuat sebagai persediaan untuk musim seterusnya juga.

Bagaimana pula dengan bulan Ramadan, adakah anda akan berada di Malaysia sepanjang bulan ini?

Pada bulan Ramadan tahun ini, saya akan berada di Malaysia untuk tempoh tiga minggu pertama sahaja. Selepas itu saya akan berangkat ke Barcelona dan menjadi tenaga pengajar undangan di salah sebuah sekolah masakan di sana untuk tempoh 10 hari.

Ini bermakna sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini anda tidak akan berada di Malaysia?

Ya benar, saya tidak akan menyambut Aidilfitri di Malaysia pada tahun ini. Bagaimanapun, saya akan pulang pada hari raya ketiga, jadi ketika itu kami akan berkumpul sekeluarga dan menyambut raya seperti biasa.

Melihat pada faktor usia sekarang, anda masih lagi aktif bekerja, malah keluar mengembara ke seluruh dunia. Tidakkah berasa penat?

Kadang-kadang rasa penat itu tetap ada tetapi saya menyukai kerja ini.

Kerjaya saya memerlukan saya mengembara ke seluruh dunia dan saya sudah mengembara sejak dari usia muda lagi.

Ia bagaikan sebahagian daripada diri, dan saya bangga dengan setiap perkara yang dilakukan kerana boleh berkongsi ilmu dan pengalaman berharga bukan sahaja untuk saya tetapi juga masyarakat.

Adakah anda pernah menetapkan had umur untuk berehat?

Tidak pernah tetapi ia bergantung pada keadaan kesihatan. Mungkin bagi sesetengah orang apabila sudah pencen dia harus duduk di rumah berehat sambil menjaga cucu dan menunggu waktu untuk ‘pergi’. Namun bagi saya, tidak semestinya apabila sudah berumur kita perlu duduk di rumah. Sebaliknya, kita perlu bergerak untuk mengekalkan kesihatan badan dan minda.

Rugi rasanya jika pengalaman dan ilmu yang saya miliki sepanjang mengembara ini tidak dikongsikan kepada masyarakat.

Post a Comment

Previous Post Next Post