JIKA diimbas kembali perjalanan seni pelakon Zara Zya, laluan yang dilaluinya bukanlah mudah. Apa yang dikecapinya pada hari ini, sememangnya atas kesabaran dan titik peluh yang diusahakannya selama ini.
Maka tidak hairanlah, selepas bertahun-tahun bertapak dalam industri, barulah kelibatnya mula dilihat. Biarpun jika diikutkan, Zara sebenarnya sudah berjinak-jinak menjadi anak seni lebih sedekad lamanya.
Tidak keterlaluan jika dikatakan, drama Love You Mr. Arrogant merupakan tuah terbesar buatnya. Mana tidaknya, drama itulah yang menjadi segala titik perubahan dalam perkembangan seni lakonan yang diceburinya selama ini.
Gandingannya bersama pelakon Azlee Khairi dilihat cukup serasi sehingga membawa dirinya menggondol beberapa anugerah dalam industri. Ketika itu, selain namanya menjadi sebutan, wajahnya banyak menghiasi kaca televisyen.
Bagaimanapun, lumrah kehidupan dalam industri hiburan, kehadiran orang baharu tidak pernah putus-putus. Justeru, jika tidak betul-betul kuat, tidak mustahil, satu nama yang gah suatu masa dahulu, mungkin terpaksa mengundurkan diri. Itulah yang dikatakan satu bentuk persaingan.
Biarpun terpaksa bersaing dengan nama-nama baharu, itu sebenarnya bukan satu halangan. Mahu tidak mahu, masing-masing perlu meneruskan perjuangan dan cita-cita. Cuma yang membezakan persaingan yang wujud itu, ia diambil dari sudut positif atau pun negatif.
Maka, tidak hairanlah, sehingga kini, tatkala nama pendatang baharu acap kali menjadi sebutan, wajahnya boleh dikatakan tidak pernah lekang di kaca televisyen. Ada sahaja program terbaharu yang menonjolkan sisi dirinya dengan karakter berbeza.
“Sejak saya melibatkan diri dalam dunia lakonan, seboleh-bolehnya memang saya akan elak daripada bersifat memilih atau demand dengan watak-watak tertentu. Ini kerana saya percaya yang setiap watak itu diberikan atas kepercayaan orang melihat kemampuan kita untuk membawakannya.
“Begitu juga dengan peranan sesuatu watak itu sendiri. Kejayaan kita membawa watak itu bukan dikira kerana watak utama yang dibawa. Sama ada besar atau kecil watak itu, apa yang penting adalah hasil yang terbaik yang boleh kita berikan untuk jayakannya,” kongsi pelakon utama drama Duda Terlajak Laris itu.