Yatt Hamzah Hamil 2 Bulan


Pelakon Yatt Hamzah kini hamil dua bulan.

Pelakon Yatt Hamzah pada Jumaat mengesahkan sedang hamil dua bulan hasil perkahwinan keduanya dengan juruvideo, Mohammad Zulfadhli Khiruddin, 26, pada 27 Februari lalu.

Yatt atau nama sebenarnya, Haryati Hamzah, 36, memberitahu menyedari tentang kehamilannya pada tiga minggu lalu dan kini memasuki bulan kedua.

"Alhamdulillah, saya disahkan hamil anak kedua ini pada tiga minggu lalu dan kini sudah memasuki bulan kedua.

"Setakat ini kandungan agak manja sikit dan saya hanya makan di rumah sahaja kerana tidak boleh makan di luar," ujarnya kepada mStar Online.

Yatt ditemui pada majlis pelancaran Felinna Raya 2016 yang diadakan di Flora Tarrace, di sini, Jumaat.

Turut hadir pada majlis tersebut pasangan selebriti Atita Haris dan Nas-T.


Yatt memberitahu anaknya, Suci Hanania Malika teruja bakal mendapat adik.

Sementara itu Yatt berkata, sudah lama menunggu untuk menambah zuriat sejak kelahiran anak pertama menerusi perkahwinan terdahulu iaitu Suci Hanania Malika yang kini berusia 6 tahun.

"Saya bersyukur kerana memang sejak kelahiran Suci enam tahun lalu saya sentiasa berdoa untuk diberikan cahaya mata kedua dan sekarang pada perkahwinan kedua ini Allah makbulkan doa saya.

"Bukan saya sahaja, malah Suci orang yang paling gembira untuk mendapat adik.

"Dia yang banyak mengingatkan saya agar berhati-hati," ujarnya.

Dalam pada itu Yatt berkata, menerusi kandungan kedua ini dia lebih berhati-hati terutama apabila diberitahu terdapat sedikit pendarahan.

"Saya dinasihatkan untuk lebih banyak berehat kerana doktor beritahu ada sedikit pendarahan dan perlu berhati-hati," ujarnya.

Yatt sebelum ini pernah berkahwin dengan Abdul Mutalib Shukor pada 29 Mac 2009, namun bercerai pada 25 Ogos 2015.

Post a Comment

Previous Post Next Post