Siti Elizad, Saya Tidak Hasut Peminat Hentam Ogy


Siti Elizad akui tersinggung komen Fauziah Ahmad Daud.

Pelakon Siti Elizad menjelaskan dia tidak pernah menghasut peminat-peminatnya untuk mengecam salah seorang juri Gempak Superstar Fauziah Ahmad Daud di laman sosial Instagram.

Elizad atau nama sebenarnya Siti Elizad Saifuddin, 32, berkata, dia sendiri tidak mempunyai masa untuk melayari laman sosial berkenaan dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah sebegitu.

"Saya tiada kaitan dengan pengikut laman sosial yang kecam Kak Ogy (Fauziah Ahmad Daud) itu, ada pula pihak yang tuduh saya yang menghasut peminat supaya hentam Kak Ogy di Instagram.

"Saya tidak ada masa pun untuk buat perkara itu dan tengoklah Instagram satu persatu," ujarnya kepada mStar Online.


Ogy Ahmad Daud

Siti Elizad berkata demikian ketika diminta mengulas tentang peminat-peminatnya yang berang apabila juri tetap rancangan berkenaan mengkritik persembahannya pada program nyanyian Gempak Superstar yang berlangsung malam Ahad lalu.

Fauziah dan Amy Mastura bertindak sebagai juri tetap program tersebut.

Sementara itu, Siti Elizad mengakui tersinggung dengan komen juri berkenaan yang mempertikaikan komitmennya dalam program itu.

Katanya, komen itu sendiri menggambarkan seperti dia seorang artis yang tidak berdisiplin.

"Kak Ogy komen saya tidak datang kelas punca prestasi saya merosot, saya akui tidak datang kelas sekali sahaja, tapi itu bukan kerana saya suka-suka dan tidak berdisiplin.

"Saya terkilan kerana saya seorang yang sangat mementingkan disiplin dan tidak suka menyusahkan orang, cuma waktu itu kerana ada penggambaran iklan. Saya sudah maklumkan awal-awal kepada Astro sebelum saya setuju untuk terlibat dalam program ini.

"Bila dia cakap kepada umum seolah-olah memberi gambaran saya seorang yang bermasalah dan tidak beri komitmen, saya terasa hati," ujarnya.



Dalam pada itu, Elizad berkata, dia tidak mahu peminat dan juri meletakkan harapan tinggi buat dirinya agar membuat persembahan setanding penyanyi profesional yang lain.

Dia hanya dapat memberi persembahan yang terbaik mengikut kemampuannya.

"Kami bukan artis profesional jadi jangan letak harapan terlalu tinggi. Jika ada salah tolong tegur dengan baik dan ajar kami untuk membetulkan," ujarnya.

Artis yang masih bertanding dalam program ini ialah Sherry, Nazim Othman, Arja Lee dan Soffi Jikan yang bakal ke pusingan semi final pada Ahad depan.

Program Gempak Superstar bersiaran setiap Ahad di Astro Ria dan Astro HD.

Post a Comment

Previous Post Next Post