Serampang dua mata Estranged


ESTRANGED mempertaruhkan SyD sebagai single kedua yang disifatkan mampu memikat hati peminat mereka.

Bertemu dengan Estranged di Bali, Indonesia pada April lalu, band yang kini dianggotai tiga anak muda berbakat besar santai bercerita mengenai turun dan naik perjuangan mereka.

Richie Gimbang atau Rich (vokalis), Hanafi (gitar), Din Hormatov (bass), rancak juga bercerita tentang perancangan mereka untuk muncul dengan single terkini, selepas single pertama mereka, Hancur Aku (kolaborasi bersama Fazura), sukses.

Melalui single yang pertama kali melihat Estranged membuka pintu untuk berganding dengan penyanyi wanita itu sebenarnya secara tidak langsung memperlihat sisi matang dan kebijaksanaan mereka menelusuri pasaran muzik masa kini. Sementelah, Estranged sendiri sudah mencecah 10 tahun usia sebagai pejuang muzik.

“Terus-terang kami katakan, Estranged jika ingin menjual lagu sahaja selepas lebih tiga tahun menyepi, barangkali sedikit sukar. Jadi kami perlu tampil dengan sesuatu yang ekstra, maka idea untuk bergabung dengan Fazura menerusi Harus Aku diwujudkan. Ternyata ia diterima ramai dan mengembalikan Estranged dalam radar hiburan semula,” ujar Rich.

Malah kerana sambutan yang di luar jangka, Hancur Aku kini akan diterbitkan dalam bahasa Inggeris dan mengambil judul Torn. Menariknya, ia akan dipasarkan di Filipina dengan mengekalkan Fazura sebagai rakan duet mereka serta kolaborasi bersama penyanyi terkenal negara tersebut, Sabrina.

Seiring kemunculan Torn, Estranged kini ‘menembak’ peminatnya dengan peluru baharu menerusi single keduanya, SyD atau Seperti Yang Dinantikan.

Menurut Estranged, lagu dengan genre balada dan rock yang sudah mula diputarkan di corong radio itu mahu diperkenalkan kepada peminat dengan panggilan SyD sahaja.

“Sesekali kami mahu sesuatu yang ringkas dan melihat akronim SyD barangkali mampu mencetuskan fenomena baharu,” ujar Rich lagi mengenai single yang akan menjalani penggambaran klip videonya sekitar hujung bulan ini.

Tidak terhenti hanya di Malaysia, menerusi kolaborasi syarikat naugannya, Universal Music Malaysia dengan syarikat gergasi Indonesia, Musica Studio’s, Estranged mempunyai perancangan besar untuk memasarkan muzik mereka di sana. Menjadi nilai tambah juga apabila mereka bakal bekerjasama dengan salah seorang artis yang bernaung di bawah Musica.

“Kami mempunyai perancangan untuk menulis lirik bersama-sama mereka jika kolaborasi itu terjadi dengan memasukkan elemen bunyi Borneo dan Indonesia,” ujar Din.

Selain ‘menjual’ muzik mereka di radio, Estranged masih meneruskan siri jelajah kampus yang telah dimulakan beberapa bulan lalu.

Ujar juara Anugerah Juara Lagu ke-22 menerusi lagu Itu Kamu itu, mereka melihat jelajah ke kampus sebagai satu usaha berbaloi, sama seperti band-band zaman 80-an yang bergerak mendekati peminat mereka dengan bermain di tapak fun fair.

Melalui siri jelajah kampus ini juga, akui Estranged ia telah memberi perspekstif baharu mereka terhadap mendekati peminat lama sekali gus mengumpul kelompok peminat baharu.

Kata mereka tanpa berselindung, Estranged suatu masa dahulu hanya mahu duduk dalam zon sendiri kerana mempertahankan prinsip muzik mereka. Namun, seiring waktu beredar, prinsip tersebut dilonggarkan bagi memajukan diri sekali gus tidak membuang terus perjuangan seni mereka.

“Sebab itu apabila muncul dengan album baharu, Sepenuhnya Vol. 1 dan berduet dengan Fazura, kami lanjutkan ia dengan siri jelajah kampus sebagai langkah baharu Estranged untuk memperkenalkan semula band kami kepada peminat lama dan baharu. Ternyata pendekatan yang dilakukan ini memberi impak yang bagus kepada kedua-dua pihak,” kata Rich.

Masih mengharapkan jemputan daripada mana-mana kampus yang mahu Estranged berada di lokasi mereka, band tersebut akan berada di Universiti Teknologi Petronas, Seri Iskandar, Perak pada 30 Julai depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post