PADA tangga karier yang sedang memuncak, Saharul memutuskan untuk berkahwin dengan kekasih lamanya selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
Selepas reda gosip percintaan dengan heroin gandingannya dalam drama Hati Perempuan, Mia Ahmad, pelakon Saharul Ridzwan mendedahkan, jika tiada aral melintang, dia akan berkahwin selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Memilih seorang ahli perniagaan sebagai bakal permaisuri hidupnya, Saharul bagaimanapun masih belum bersedia mendedahkan identiti wanita yang berjaya mencuri hatinya, sebaliknya mahu memastikan segala perancangan berjalan lancar terlebih dahulu.
Selain itu, pemenang dua anugerah utama pada majlis Anugerah Pilihan Online 2016 (APO 2016) menerusi kategori Aktor Terbaik Pilihan Online dan Lelaki Tampan Pilihan Dnars baru-baru ini menjelaskan, kemenangannya adalah pemangkin untuk bekerja lebih keras.
Meskipun kerjaya seninya berjalan lancar, Saharul enggan berasa selesa, sebaliknya mula menceburi bidang perniagaan demi persediaan masa depan. Saharul juga bakal menjelajah satu Malaysia untuk menjual kuih raya.
KOSMO!: Difahamkan Saharul akan menamatkan zaman bujang selepas hari raya nanti, boleh ceritakan dengan lebih lanjut?
SAHARUL: Ya, insya-Allah. Mengikut perancangannya, memang saya mahu berkahwin dalam tahun ini, mungkin selepas Hari Raya Aidilfitri nanti tetapi untuk bercerita lanjut soal tarikh dan siapa calon isteri, saya masih mencari masa sesuai untuk mengumumkannya.
Jadi, siapakah wanita yang dimaksudkan itu, sejak bila sebenarnya hubungan kalian bermula?
Dia seorang wanita biasa, bukan artis. Kami kenal sebelum saya bergelar selebriti kira-kira empat tahun lalu tetapi hubungan kami pernah putus kerana masing-masing belum bersedia.
Apakah yang membuatkan anda kembali memilihnya dan memutuskan untuk berkahwin pada masa terdekat?
Semasa menunaikan umrah tahun lalu, saya berdoa di hadapan Kaabah agar segera dipertemukan jodoh.
Apabila pulang, saya bertemu kembali dengan bekas kekasih dan kami sepakat bahawa sudah bersedia untuk membawa hubungan ke peringkat serius.
Boleh kongsikan kriteria yang membuat anda terpikat pada bakal isteri?
Dia memenuhi empat kriteria yang Nabi Muhammad sebut sekiranya mahu mencari pasangan hidup iaitu akhlak, keturunan, harta dan agama. Insya-Allah, dia adalah pilihan terbaik buat saya.
Bertukar ke topik karier pula, apakah membuatkan anda kini berimej botak dan kelihatan sedikit berisi?
Saya ingin menjadi seorang pelakon yang versatil seperti Shaheizy Sam. Dia selalu berbeza dalam setiap filem.
Saya mengubah imej demi karakter menerusi dua buah drama yang akan ditayangkan serentak pada Ramadan nanti iaitu Seindah Takdir Cinta dan Assalamualaikum Cinta.
Menerusi drama berkenaan, penonton boleh nampak perbezaan imej saya.
Adakah anda menetapkan had dalam mengubah imej untuk sesebuah watak lakonan?
Saya sanggup mengubah bentuk fizikal dan imej selagi ia tidak melanggar batasan agama dan kesihatan diri. Pada saya, imej merupakan cabaran penting dan ia normal bagi kalangan pelakon di luar negara.
Saya serius dalam lakonan, jadi ini antara pengorbanan yang harus dilakukan untuk nampak berbeza dan meyakinkan dalam setiap karya.
Selepas menang dua anugerah, di manakah tahap anda sekarang ini?
Tidak kiralah berapa banyak anugerah yang dimenangi, saya masih Saharul Ridzwan yang sama. Cuma sebagai pelakon, saya mengimpikan untuk meraih anugerah yang dinilai oleh juri profesional pula seperti Anugerah Skrin atau Festival Filem Malaysia. Tahun ini saya akan muncul dengan filem pertama iaitu Hantu Rumah Sakit Jiwa dan berharap untuk memenangi sebuah anugerah profesional suatu hari nanti.
Jika serius dengan lakonan, mengapa pula anda sibuk dengan perniagaan?
Sebenarnya bukan saya seorang, ramai artis berniaga kerana mereka semua bijak. Status sebagai artis merupakan publisiti percuma, jadi tidak salah menggunakan peluang itu untuk menjalankan perniagaan demi masa depan.
Setakat ini saya telah menjalankan perniagaan jangka pendek iaitu bedak sejuk. Sasaran perniagaan saya dijalankan hanya untuk tempoh tiga bulan. Selepas meraih keuntungan, produk lain pula akan dijual.
Selepas ini apa pula produk yang akan dikeluarkan?
Sempena dengan kedatangan Ramadan, saya akan menjual kuih raya. Sebenarnya tahun lalu saya sudah menjual kuih raya secara suka-suka.namun sambutannya luar biasa dan kuih saya terjual lebih 2,000 bekas.
Jadi, tahun ini saya akan berniaga kuih raya secara serius. Saya akan turun padang menjelajah seluruh negara untuk menjual kuih raya. Selain itu, akan ada kejutan buat pelanggan, contohnya dalam lima bekas kuih raya akan diletakkan nota istimewa.
Pelanggan yang mendapat nota berkenaan akan menerima kunjungan saya pada hari raya nanti. Itu antara strategi pemasaran sebagai tanda terima kasih saya buat peminat.