
MUDA - Baru berusia 22 tahun, Khai Bahar mengaku dia masih memerlukan banyak tunjuk ajar dan teknik nyanyian untuk menjadi seorang penghibur yang bagus.
BENAR apa yang dikatakan orang, rezeki itu adalah rahsia besar milik Allah SWT. Tiada siapa yang mampu menduga, apatah lagi mengawal selia percaturan hidup yang telah ditentukan oleh Yang Maha Esa. Begitulah resmi hidup yang turut dialami oleh penyanyi muda, Khai Bahar sewaktu dia mahu mengembangkan bakatnya sebagai anak seni sekitar tiga tahun lalu.
Sewaktu pihak TV3 mengumumkan penganjuran program realiti pencarian bakat Mentor Legend pada tahun 2015, anak jati kelahiran Perlis itu tidak ketinggalan untuk mengikuti sesi uji bakat yang diadakan.
Ketika itu, impian yang dipahatkan dalam jiwa besarnya hanyalah satu, iaitu mahu bergelar penyanyi yang berjaya, sekali gus mengubah nasib diri serta keluarga.
Seperti rintik hujan yang turun membasahi tanah kontang selepas ditimpa musim kemarau, begitu juga rasa dalam jiwa Khai atau nama lengkapnya, Muhammad Khairul Baharuddin sewaktu dikhabarkan mengenai kejayaannya bergelar protege kepada penyanyi R&B tersohor negara, Dayang Nurfaizah. Basah dengan rasa syukur dan keterujaan.
Begitupun, rasa itu tidak bersisa lama. Disebabkan masalah keluarga yang dihadapi, jejaka berusia 22 tahun itu terpaksa menolak tawaran tersebut yang berkemungkinan besar dapat membuka peluang kepadanya untuk bergelar seorang penghibur ternama.
“Ketika itu, saya mengalami masalah keluarga. Jadi, mahu atau tidak, saya terpaksa menolak tawaran yang diberikan oleh pihak Mentor Legend.
“Sejujurnya, saya berasa sedih tetapi saya percaya, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya,” katanya membuka bicara.
Smule
Biarpun gagal menempatkan diri dalam pertandingan nyanyian, hasrat Khai untuk bergelar penyanyi tidak pernah padam.
Selepas kerap memuat naik rakaman lagu-lagu saduran nyanyiannya ke laman perkongsian video YouTube, Khai beralih arah ke aplikasi Smule, iaitu sebuah perisian yang membolehkan pengguna untuk menyanyi secara duet di alam maya. Istimewanya, aplikasi yang semakin popular itu turut digunakan oleh beberapa penyanyi tempatan dan antarabangsa popular termasuklah Jessie J, Datuk Siti Nurhaliza dan Siti Nordiana.
Seperti masalah keluarga yang dihadapi datang tanpa diminta, begitu juga rezeki dan tuah yang hadir menyapa selepas beberapa kali memuat naik video rakaman Smule menerusi platform media sosial baru-baru ini.
Tanpa disangka, rakaman lagu Memori Berkasih yang dilakukan bersama Siti Nordiana menjadi viral, sehingga mencetuskan fenomena luar biasa dalam kalangan peminat.
Tidak terhenti setakat itu, beberapa video Smule rakaman Khai turut menjadi viral di Indonesia, sehingga dilabelkan sebagai penyanyi bersuara emas oleh pengkritik muzik di sana.
Terharu dengan sambutan yang diberikan, Khai berkata, tidak ada apa yang mahu dibuktikan dalam rakaman video tersebut melainkan bakat nyanyian yang ada pada dirinya.
“Saya tidak terlalu terkejut apabila video Smule bersama Siti Nordiana menjadi viral. Sebelum ini juga, ada beberapa video lain yang turut popular dalam kalangan pengguna media sosial.
“Namun, saya melihat perkara ini sebagai rezeki. Alhamdulillah, sejak video tersebut menjadi viral, rezeki saya dalam bidang nyanyian semakin terbuka luas,” katanya yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman NAR Records.
Belajar
Tambah Khai, walaupun sibuk memenuhi undangan nyanyian, dia tidak pernah melupakan fokus utama untuk bergelar penyanyi dengan ilmu yang penuh di dada.
“Benar, saya boleh menyanyi tetapi masih ada beberapa perkara yang ingin saya perbetulkan terutama dari segi teknik kawalan vokal.
“Tidak salah rasanya untuk mencari guru vokal agar persembahan saya pada masa akan datang dapat diperbaiki,” kata Khai yang bakal merakamkan sebuah single baharu tidak lama lagi.
Selain mencari guru vokal yang sesuai, Khai juga mahu diberi tunjuk ajar khususnya mengenai selok-belok dalam dunia muzik.
“Saya sendiri tidak tahu tahap keupayaan diri dan genre muzik apa yang sesuai dengan vokal saya.
“Mungkin selepas bertemu dengan ramai penerbit saya dapat memilih genre yang betul-betul sesuai dengan diri saya,” ujar penggemar penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza itu dengan nada positif.
Sisih kontroversi
Belum sempat kedua belah kaki melangkah masuk ke dunia hiburan, sudah ada perkara negatif mengenai Khai Bahar yang diperkatakan. Selain video nyanyiannya yang menjadi viral, sebuah rakaman video selfie bersama rakan lelakinya juga turut tersebar.
Cakap-cakap nakal dalam kalangan khalayak mula tercetus apabila rakaman tersebut menampilkan dia dan rakannya yang tidak mengenakan pakaian. Ada yang mendakwa, Khai dan rakannya itu menjalinkan hubungan terlarang.
Tidak cepat melenting dengan momokan tersebut, ternyata Khai mempunyai jawapan terhadap tuduhan yang dilemparkan kepadanya.
“Video tersebut diambil ketika saya tinggal di rumah sewa bersama rakan-rakan. Biasalah, ketika itu saya masih muda dan selalu melakukan perkara tanpa berfikir panjang.
“Bagaimanapun, dia merupakan kenalan saya dan keluarga juga mengenalinya. Jadi, tuduhan yang mengatakan saya tidak normal adalah tidak benar sama sekali,” ujar Khai.
Sebelum menutup bicara, Khai sempat menyatakan kesediaannya untuk terus bergelar anak seni, walaupun telah dihenyak kontroversi pada fasa awal pembabitannya dalam dunia hiburan.
“Walaupun agak terkejut, namun perkara ini bakal menjadi pengajaran buat saya. Bukan mudah untuk berjaya, dan disebabkan itu, saya tidak akan pernah berhenti berusaha,” katanya menutup perbualan.