Azwan, Ezzaty nikah lepas Raya


SEPAKAT tidak bertunang awal, Ezzaty dan Azwan Kombos akan melangsungkan pernikahan selepas Aidilfitri depan.

KISAH cinta antara pelakon Azwan Kombos dan pilihan hatinya, Ezzaty Abdullah sememangnya bukan lagi rahsia dalam kalangan peminat mereka. Malah, lamaran yang dihantar rombongan Azwan sekitar bulan Mac lalu juga disambut baik Ezzaty.

Memilih untuk tidak mengikat tali pertunangan terlebih dahulu, pasangan ini mengakui bakal menyimpulkan sulaman cinta mereka selepas hari raya nanti.

Sempat ditemui ketika Majlis Iftar di Intekma, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Ezzaty yang ditemani Azwan masing-masing kelihatan begitu bahagia menanti detik istimewa hari bersejarah mereka.

KOSMO!: Khabarnya Ezzaty dan Azwan bakal menamatkan zaman bujang tidak lama lagi?

EZZATY: Ya, benar, kami akan berkahwin tidak lama lagi. Bagaimanapun tarikhnya belum ditetapkan lagi. Insya-Allah kami akan mengumumkan apabila sudah mempunyai tarikh tetap nanti. Berkemungkinan majlis akan diadakan selepas raya.

Bagaimana pula dengan persiapan perkahwinan anda setakat ini?

Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Walaupun saya dan Azwan masing-masing sibuk dengan kerjaya lakonan tetapi kami bertuah kerana mempunyai sebuah pasukan yang bertanggungjawab menguruskan hal perkahwinan kami.

Di manakah majlis tersebut akan diadakan dan apakah konsep perkahwinan nanti?

Sebenarnya, sejak dari kecil saya merupakan seorang yang suka berangan, terutamanya dalam hal yang melibatkan perkahwinan. Jika diikutkan, saya mengimpikan sebuah perkahwinan dengan tema tradisional tetapi memandangkan majlis berlangsung di rumah, jadi saya mengambil keputusan untuk memakai persalinan yang lebih ringkas sahaja. Majlis perkahwinan tersebut akan diadakan di Bentong, Pahang dan Kuala Lumpur.

Sebagai pendatang baharu, nama anda kini dilihat sedang meningkat naik tetapi anda mengambil keputusan untuk berkahwin sekarang. Tidak takut populariti anda akan pudar selepas berkahwin nanti?

Saya akui ramai yang bertanya kepada saya tentang perkara ini. Bagaimanapun, saya percaya pada rezeki yang telah ditetapkan Tuhan. Andai kata rezeki tersebut memang ditakdirkan untuk saya, maka saya akan dapat juga. Malah, saya juga baru sahaja berkecimpung dalam bidang perniagaan bersama Azwan, mana tahu jika rezeki saya bukan pada lakonan, mungkin dalam bidang perniagaan pula.

Boleh kongsikan perkembangan terkini anda?

Sekarang saya sedang sibuk dengan penggambaran drama Abang Sado Boleh Setel. Saya juga terlibat dengan drama Mak Cun 2 yang sedang ditayangkan dan terdapat juga drama yang bakal ditayangkan pada bulan Ramadan nanti iaitu Lambaian Ramadan. Selain itu, pada bulan Julai nanti dua buah filem lakonan saya bertajuk Anak Mami Nasi Kandar dan Andai Itu Takdirnya juga akan ditayangkan di pawagam.

Melihat pada kerancakan aktiviti seni anda sekarang ini, bagaimana anda memasang strategi untuk kekal bertahan dalam industri?

Benar, aktiviti seni saya sekarang boleh dikatakan stabil dan cukup untuk menyara kehidupan setiap bulan. Bagaimanapun, saya sedar pelbagai perkara perlu dipelajari agar dapat pergi ke peringkat yang lebih tinggi. Antara strategi saya adalah memperbanyakkan belajar dan pertingkatkan mutu lakonan.

Post a Comment

Previous Post Next Post