Lunas penantian Lah Ahmad, Altimet


ENAM tahun membiarkan lagu Mengelamun terbuku dalam simpanan, Lah Ahmad dan Altimet setuju mengatakan bahawa inilah masa yang sesuai diberikan kepada peminat.

SELEPAS enam tahun berlalu, hasrat penyanyi Lah Ahmad untuk berduet dengan penyanyi rap Altimet menjadi kenyataan menerusi single terbaharu berjudul Mengelamun.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia terpaksa menunggu lama demi mendapat khidmat Altimet disebabkan beberapa kekangan dan faktor masa membuatkan ia terbantut selama bertahun-tahun.

“Sewaktu mula-mula menulis lagu ini, saya sudah membayangkan bahagian rap dinyanyikan Altimet. Cuma, masa tidak mengizinkan kami untuk bekerjasama dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini. Ditambah pula dengan komitmen masing-masing yang ingin mengeluarkan album sendiri.

“Walaupun begitu, tidak banyak perubahan dilakukan terhadap susunan muzik lagu ini kerana ia masih sesuai dipasarkan pada masa kini. Secara peribadi, saya lebih gemar lagu-lagu yang diperap lama dalam simpanan. Makin lama perap, makin sedap untuk didengar,” ujarnya.

Bercakap mengenai single terbaharunya itu, Lah memberitahu, ia menyentuh tentang sikap segelintir manusia yang kerap mengelamun sehingga membuatkan masa terbuang begitu sahaja.

“Lagu ini berentak perlahan dan santai, sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Ia sarat dengan mesej, nasihat dan teguran bahawasanya membuang masa dengan mengelamun itu adalah perkara merugikan. Lebih baik ia diisi dengan pekerjaan atau sesuatu lebih penting, kerana masa itu sangat berharga,” jelasnya.

Sementara itu, Altimet pula berkata, Mengelamun ibarat buah tangan mereka yang penuh dengan impian kerana berhasrat untuk menjalin kerjasama dengan Lah akhirnya tercapai menerusi lagu itu.

“Kami memang sudah lama mengenali antara satu sama lain, malah kerap berjumpa. Perancangan untuk bekerjasama tetap ada tetapi selalu tidak menjadi. Membawa dari tahun ke tahun, akhirnya barulah sekarang impian itu dapat direalisasikan.

“Saya yakin dan percaya, jalan itu tetap ada untuk kami. Sebab itu saya sanggup bersabar bertahun-tahun demi menunggu peluang ini,” ujar Altimet yang pertama kali bergandingan dengan Lah.

Selain itu, dalam perkembangan lain Lah akan muncul dengan album keduanya menjelang Mei nanti. Mengandungi sembilan buah lagu termasuk Mengelamun, album tersebut turut menampilkan suara anak sulungnya, Amira Zaharah, 7.

“Bagi album kedua ini, terdapat banyak keistimewaan dan kelainan yang ingin ditampilkan kepada para peminat. Antaranya, dalam lagu Dendangan Ayah, saya menggunakan suara anak sulung sebab sesuai dengan jalan cerita lagu itu sendiri yang menceritakan tentang hubungan kekeluargaan.

“Kali ini, saya juga mengurangkan himpunan lagu ciptaan sendiri, sebaliknya memberi peluang kepada komposer lain untuk menyumbang lagu dalam album ini. Antara komposer itu ialah bekas anggota VE sendiri, Cham.

“Selain itu, terdapat beberapa buah lagu bonus atau instrumental dalam album ini buat peminat. Ia berikutan, mereka ada menyuarakan keinginan memiliki instrumental lagu saya supaya boleh menyanyi sendiri,” jelasnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post