
IDOLA - BCL menyifatkan Reza Rahadian sebagai aktor hebat nombor satu Indonesia dan idolanya, selain mengakui pelakon itu adalah sahabat baiknya dalam dunia hiburan.
JIKALAU hidup si jelita kelahiran republik Indonesia, Bunga Citra Lestari, 33, ditafsirkan dalam bidalan, di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung, ia seperti kena benar dengan wanita itu. Meskipun Indonesia adalah rumah pertamanya, dia turut diterima tanpa prejudis di negara asal suaminya, Ashraf Sinclair iaitu Malaysia.
Justeru, disogok pertanyaan sama ada dia mempunyai perancangan untuk meluaskan kerjayanya di Malaysia dengan berpindah ke sini, Bunga atau mesra disapa sebagai BCL dalam kalangan media tidak menolak kemungkinan tersebut.
Katanya, dia sudah bersedia untuk berbuat demikian sekiranya diberi peluang bekerjasama dengan mana-mana syarikat produksi tempatan memandangkan kelibatnya sebagai seorang selebriti di Malaysia mendapat sokongan ramai peminat.
Biar belum memutuskan sepenuhnya mengenai hal tersebut, BCL memberitahu: “Sebenarnya, sejak tiga bulan lepas, saya kerap berulang-alik dari Jakarta ke Kuala Lumpur kerana program Maharaja Lawak Mega (MLM). Bukan itu sahaja, lagu saya pun sudah dilancarkan di sini.
“Kalau boleh, memang mahu tinggal lebih lama di Kuala Lumpur untuk bekerjasama dengan syarikat produksi di sini. Saya selalu mencari alasan untuk datang semula dan tinggal lebih lama di Malaysia kerana berasa sangat selesa di sini.”
Tambahnya, dia bersemangat untuk membina nama sebagai aktres dan penyanyi di Malaysia memandangkan suaminya, Asyraf amat diterima dengan baik sebagai pelakon di negara kelahirannya.
“Kalau boleh, kedua-dua negara saya mahu berjalan bersama, kerana saya melihat Ashraf boleh melakukan serta mempunyai karier yang baik di Indonesia, kenapa tidak saya bekerja di Kuala Lumpur juga. Indonesia sangat menerima Ashraf dengan begitu baik, harapan saya juga bisa diterima baik di Malaysia,” ujarnya ketika ditemui media tempatan pada malam gala filem My Stupid Boss di ibu negara baru-baru ini.
Bertudung
Selain diminati banyak orang kerana kejelitaannya, satu hal yang tidak dapat dipisahkan dengan wanita ini adalah imej seksinya. Namun begitu, ibu kepada si kecil bernama Noah itu baru-baru ini membuat kejutan apabila tampil dengan imej bertudung menerusi filem Jilbab Traveler.
Meneliti gambar-gambar yang dimuat naik dalam laman Instagram miliknya pada awal Januari tahun ini, yang menampilkan dia bertudung, BC sudah mula ditanya tentang penghijrahan imej tersebut.
Katanya, walaupun bertudung cuma di dalam filem, dia merasakan sesuatu perubahan positif dan ‘imej sementara’ tersebut turut disenangi suami dan teman rapat.
“Ramai yang terkejut apabila melihat atau mendengar cerita saya bertudung. Ia cuma tanggungjawab melakonkan watak di dalam filem arahan Guntur Soeharjanto itu. Bagaimanapun, apabila melihat diri sendiri bertudung di depan cermin, saya berasa tenang,” ujarnya.
Pertama kali melakonkan watak wanita bertudung di layar perak, BCL bagaimanapun menafikan akan bertudung dalam masa terdekat.
Katanya, dia tidak mahu perubahan yang terlalu drastik mengakibatkan dia memungkiri janji kepada Ilahi.
“Masih ada banyak proses sebelum saya sampai ke tahap itu. Banyak lagi perkara yang perlu saya belajar untuk ke arah itu (bertudung),” ulasnya.
Sanjung Reza
Sementara itu, diajak bercerita tentang filem terbaharu lakonannya dengan pasangan filem idealnya, Reza Rahadian berjudul My Stupid Boss yang mula ditayangkan serentak di empat buah negara iaitu Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei pada 19 Mei lalu, BCL berkongsi pengalaman luar biasa bekerja di samping Reza dan menjayakan watak komedi.
“Saya sangat menyanjungi bakat lakonan Reza. Dia banyak mengajar saya bagaimana untuk menghasilkan lakonan yang berkualiti sejak mula berlakon sama menerusi filem Habibie & Ainun. Dia adalah rakan baik saya dan merupakan pelakon terbaik di Indonesia.
“Jika filem terdahulu adalah lebih kepada perkara yang serius, My Stupid Boss berbeza intipatinya. Boleh kata, ini kali pertama saya menjayakan watak komedi dalam filem. Namun, yang paling kelakar dan menjadi tumpuan adalah Reza yang melakonkan watak Bossman,” ujarnya bersahaja.
My Stupid Boss merupakan filem arahan pengarah terkemuka Indonesia, Upi Avianto. Selain Reza dan BCL, filem terbitan Falcon Pictures itu turut menampilkan pelakon-pelakon tanah air seperti Bront Palarae, Chew Kin Wah, Atikah Suhaimie dan Iskandar Zulkarnain.