MANJA - Biarpun telah bergelar isteri, Anzalna nyata sukar menghakis sikap manja sehinggakan pernah suatu ketika dia yang masih mengenakan baju tidur ditemani suami pulang ke kediaman ibu bapanya kerana terlalu rindu akan kedua orang tuanya.
MENJALANI kehidupan berumah tangga, Anzalna Nasir mengakui dirinya bagaikan belangkas dengan sang suami. Memperlahankan kerjaya seni demi memberi ruang membiasakan diri dengan tugas isteri dan tumpuan pada insan tercinta, keputusan tersebut tidak bermakna dia melenyapkan segala jerih perih yang diusahakan selama ini demi merebut tempat dalam industri hiburan tempatan.
Menjadi kebiasaan, rutin saban harinya hanya perlu diberi tumpuan kepada diri sendiri tanpa perlu mengambil kira keperluan orang lain.
Jika sebelum ini segala tindak-tanduknya tertumpu kepada kedua orang tua tetapi setelah berumah tangga, berlaku peralihan hierarki dalam hidupnya.
Tidak bermakna status isteri itu menjadikannya sebagai anak derhaka, sebaliknya setiap tindakan mahupun keputusan perlu ada keizinan sang suami terlebih dahulu.
Emosi bahagia sentiasa melingkari hati, lirikan matanya seakan tidak mampu dialihkan daripada terus ‘mengikat’ suami agar sentiasa berada dekat dengan dirinya.
Sukar digambarkan dengan kata-kata, bibir pelakon jelita, Anzalna Nasir tidak lekang mengukirkan senyuman tatkala disoal mengenai transisi fasa hidup yang kini berstatus isteri.
Sesekali dia melemparkan pandangan ke arah Mohamad Hanif Mohamad Zaki yang kini menjadi raja di hatinya. Bagai satu ikatan tersimpul rapi, dua jiwa itu nyata tidak mampu dipisahkan.
Mungkin boleh dikatakan tempoh bulan madu itu tidak ada tarikh luputnya, Anzalna dan Hanif bahagia melayari bahtera perkahwinan bersama.
“Kami berdua memang gemar menghabiskan masa bersama sehinggakan sukar rasanya untuk berjauhan, apatah lagi berenggang untuk satu tempoh yang lama.
“Bukan bermakna kami baru berumah tangga menjadi sebab mengapa masing-masing mengambil keputusan untuk tidak berjauhan antara satu sama lain tetapi perasaan itu wujud sendiri,” jelas Anzalna yang dinikahi Hanif pada 21 Februari lalu.
Menjalani rutin sebagai seorang isteri, Anzalna mengakui dirinya lebih selesa sekiranya hidangan buat Hanif disediakan sendiri dengan air tangannya.
Biarpun disediakan pembantu, pelakon filem Kahwin 5 itu nyata tidak mengambil sikap lepas tangan dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.
“Setiap hari sajian yang disediakan berlainan agar mengikut permintaan suami tetapi saya bersyukur kerana dia tidak cerewet dalam soal makan.
“Pernah suatu hari saya hanya menghidangkan nasi putih bersama telur goreng dan kicap. Tidak sedikit pun dia merungut mahupun mengomel,” jelasnya sambil melemparkan senyuman ke arah suami.
Tiada kongkongan
Menyandang gelaran isteri bukan halangan buat Anzalna meneruskan minatnya dalam bidang lakonan. Biarpun langkahnya dibiarkan sedikit perlahan, wanita berusia 28 tahun itu mengakui sukar buat dirinya meninggalkan dunia seni.
Dalam nada gembira, Anzalna bersyukur Hanif tidak sedikit mempamerkan reaksi menentang keinginannya untuk kekal aktif sebagai anak seni.
Setiap watak yang ditawarkan mula diambil kira dengan lebih teliti agar tidak melampaui batas, sementelah dia kini berstatus sebagai isteri.
Bagaimanapun, dia mengakui kepercayaan yang diberikan perlu dijaga sebaik mungkin agar tidak menjadi seperti telunjuk mencucuk mata.
“Secara automatik saya sendiri perlu tahu batas agar tidak keterlaluan sehingga mampu mengguris hati suami mahupun kedua-dua belah keluarga.
“Biarpun suami amat memahami kerjaya saya sebagai pelakon, sementelah kami telah berkenalan lebih 10 tahun tetapi itu bukan bermakna kepercayaan diberikan boleh dipandang enteng,” jelas Anzalna dalam nada manja.
Menjawab persoalan sekiranya dia terpaksa menjalani sesi penggambaran di luar daerah, pantas Anzalna memberitahu, suaminya pasti akan turut serta menemani tanpa perlu meminta-minta.
“Sekiranya ingin ke mana-mana, dia (Hanif) akan pastikan segala maklumat lengkap diberikan terlebih dahulu sebelum meninggalkan rumah kerana ingin memastikan keselamatan saya,” jelas Anzalna mengenai sikap suaminya.
Tiada istilah mengongkong, Anzalna tidak sedikit pun merasakan perkara tersebut membebankan. Sebaliknya dia selesa menjalani fasa kehidupan baharunya itu.
Baginya, lumrah hidup sebagai suami isteri yang saling kebergantungan antara satu sama lain.
Lebar sayap perniagaan
Membiarkan segala tanggapan negatif tanpa prejudis, Anzalna lebih selesa berfikiran positif bahawa setiap rezeki seseorang itu telah ditentukan oleh Tuhan.
Memperlahankan aktiviti seninya bukan bermakna itu merupakan langkah awal untuk melenyapkan diri daripada radar lapangan seni hiburan tanah air yang sentiasa dibanjiri pendatang baharu.
Tetap dengan pendiriannya merehatkan diri daripada agenda seni, Anzalna meminta agar peminat memberinya tempoh sebelum kembali aktif berlakon.
Selesa menguruskan perniagaan, Anzalna mengakui telah menolak sebanyak lima tawaran berlakon demi memberi tumpuan kepada Anzel Hair dan Anzel Scarf.
“Tidak terlibat dalam sebarang aktiviti seni bukan bermakna saya goyang kaki sahaja. Sebaliknya masa diperuntukkan pada perniagaan.
“Bukan bermaksud pendapatan berlakon sedikit tetapi disebabkan kecenderungan saya yang lebih tertumpu kepada bidang ini,” katanya yang telah mengusahakan perniagaannya lebih enam bulan lalu.
Berada dalam rangka perancangan untuk melebarkan empayar perniagaan, Anzalna nyata tidak dapat menipu diri sendiri bahawa dia sebenarnya amat merindui dunia lakonan.
Besarkan keluarga
Dalam keasyikan dibuai rasa bahagia, setiap pasangan yang berkahwin pasti tidak dapat lari daripada diburu soalan mengenai zuriat.
Malah, wanita ini meletakkan nilai kesempurnaan rumah tangga itu dengan kehadiran cahaya mata yang dianggap sebagai pelengkap bagi sesebuah institusi kekeluargaan.
Dilontarkan dengan soalan berbaur sensitif, nyata perkara tersebut tidak memberikan kesan. Sebaliknya, pelakon kelahiran Tasik Gelugur, Pulau Pinang itu kekal utuh mengukirkan senyuman.
Biarpun soalan itu mampu mengundang rasa kurang senang tetapi Anzalna tetap menyambut dalam nada mesra tanpa mempamerkan sebarang reaksi emosi.
Tidak meletakkan sebarang perancangan dalam soal keluarga, baik Anzalna mahupun Hanif, kedua-duanya menyerahkan segala ketentuan kepada yang Maha Esa.
“Biarlah Allah yang menentukan kerana perkara itu di luar bidang kuasa kami, apatah lagi untuk meletakkan sebarang perancangan.
“Sekiranya ada rezeki, dengan rasa senang hati kami terima. Tambahan pula, kedua-dua belah keluarga turut tidak memberikan sebarang tekanan mahupun desakan kepada kami,” tutur finalis Dewi Remaja 2010 itu dengan lemah lembut.