Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Pulau Pinang, Yusuf Abd Mutalib berkata, penubuhan Jawatankuasa Transgender di negeri itu bukan bersifat mencari penyelesaian, sebaliknya menjadikan golongan itu 'lebih kritikal dan kronik'.
Menyifatkan penubuhan jawatankuasa itu umpama 'tikus membaiki labu', beliau berkata ia juga seolah-olah mempromosikan budaya songsang dalam kalangan masyarakat.
“Mana tidaknya, mereka seolah-olah mengiktiraf salah laku golongan itu, malah mempromosi budaya songsang yang bercanggah dengan Perlembagaan Negara yang mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan.
“Apa yang boleh saya katakan, penubuhan jawatankuasa ini bukan menjadi penawar untuk menyembuhkan penyakit kronik, tetapi menjadi virus yang akan merosakkan masyarakat,” katanya seperti dilapor portal Ismaweb.
Beliau berkata demikian mengulas langkah kerajaan Pulau Pinang meluluskan penubuhan Jawatankuasa Transgender bagi membela nasib golongan berkenaaan.
Menyelar tindakan itu, Yusuf berkata ahli jawatankuasa terbabit, khususnya dari Umno dan PAS, sepatutnya mewakili suara umat Islam dan menolak serta membuat penilaian dengan kaca mata iman.
“Ini tidak, mereka tunduk dengan tuntutan hak kebebasan manusia yang menyalahi fitrah insan. Lebih-lebih lagi tindakan penubuhan jawatankuasa ini melanggar fitrah manusia iaitu norma hidup seorang manusia normal.
“Sedangkan haiwan sendiri tidak pernah bercanggah dengan norma hidup seekor haiwan. Adakah kita mahu menjadikan manusia lebih teruk daripada haiwan? Walhal, Allah menjadikan manusia itu adalah sebaik-baik kejadian,” katanya.
Selain ISMA, PERKASA hari ini turut melahirkan rasa kesal dengan pembentukan jawatankuasa berkenaan yang diketuai ADUN Tanjung Bungah dari DAP, Teh Yee Cheu.
Jawatankuasa itu, antara lain merancang mengadakan aktiviti termasuk kebajikan yang lebih baik untuk golongan transgender terutama di hospital dan penjara.
Malah, mereka juga berkempen untuk mewujudkan tandas berasingan bagi golongan itu.
Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam merangkap Ahli Dewan Tertinggi PERKASA, Dr Amini Amir Abdullah berkata, kelompok transgender tidak sepatutnya diberi layanan istimewa sama ada di hospital, penjara atau tandas berasingan.