KETIKA bertemu dengan penyanyi baharu kelahiran republik Singapura, Harris Baba pada majlis pelancaran single terbaharunya, Katakan di ibu pejabat Warner Music Malaysia seminggu sebelum dia bertukar status menjadi suami, memang tiada petanda bahawa lelaki itu bakal menamatkan zaman bujang dalam tempoh terdekat.
Tanggal 13 Mei 2016, Harris atau nama lengkapnya, Khawaja Mohammad Harris Baba, 25, membuat kejutan apabila memuat naik gambar majlis perkahwinannya dengan wanita bernama Jiha di laman Instagram. Tiada angin, tiada ribut, sekelip mata, Harris kini sudah memintal janji keramat sebagai suami yang akan menjaga isterinya.
Waktu ditemu bual media tempatan, Harris ada memberitahu bahawa dia sedang menjalin hubungan dengan seorang wanita, namun tidak mahu bercerita lebih lanjut mengenainya kerana hubungan tersebut masih pada peringkat awal.
Balas Harris apabila diajukan tentang perkahwinan: “Kami baru sahaja berkenalan dan saya tidak tahu apa perancangan Tuhan buat saya. Insya-Allah, kalau ada jodoh dan rezeki, saya akan berkahwin.”
Prinsip kahwin
Bukan berniat untuk tidak menguar-uarkan majlis perkahwinan kepada teman media, Harris ketika dihubungi Kosmo! memberitahu bahawa keputusan untuk berkahwin secara sederhana tanpa publisiti berlebihan pihak media adalah permintaan isterinya, Nik Naziha Nik Zawawi, 21.
“Saya bukan berniat untuk merahsiakan perkahwinan. Isteri saya adalah seorang yang merendah diri. Justeru, dia tidak mahu perkahwinan kami terlalu digembar-gemburkan pihak media dan saya menghormati permintaannya itu,” ujarnya ringkas.
Harris pernah membintangi dua buah telefilem iaitu Alien Planet Cinta dan Cinta Viral. Terdahulu, dia juga berjinak-jinak dalam dunia peragaan sebagai model
Ditebak persoalan apa yang membuatkan hatinya terpaut dengan isterinya itu, Harris berkata, Jiha mempunyai kualiti yang selama ini dia cari untuk dijadikan teman hidup.
“Dia seorang yang memahami dan sangat berbeza dengan wanita yang pernah saya kenali sebelum ini. Keluarga dan teman rapat juga amat mengenali dia (Jiha) dan mereka banyak membantu saya untuk melangsungkan majlis perkahwinan di Keningau, Sabah,” kata Harris.
Ditanya mengenai berapa lama hubungan cinta antara mereka sudah terjalin, Harris menjelaskan, hubungannya dengan Jiha mula serius sejak setahun lalu.
“Saya mula berkawan dengan dia sejak tahun 2013. Sebenarnya, hubungan saya dan dia banyak kali dihujani rintangan. Apa pun, semua ini adalah rezeki dan jodoh untuk saya,” katanya dalam nada gembira.
Ditanya mengenai persiapan perkahwinan yang dilihat berlaku secara tiba-tiba, Harris memberitahu, hasrat untuk berkahwin telah disuarakan sejak September tahun lalu dengan bantuan dan kerjasama kedua-dua pihak keluarga.
“Untuk melakukan persiapan perkahwinan, saya terpaksa berulang-alik dalam empat kali sebulan dari Kuala Lumpur ke Sabah,” ulasnya ringkas.
Tidak tiru
Bercerita tentang bagaimana minat dalam bidang nyanyian berkembang, Harris memberitahu, sejak kecil dia sudah mempunyai minat ke arah tersebut.
“Sejak kecil, saya suka menyanyi lagu Hindustan. Saya rasa minat sebegitu mungkin disebabkan darah Pakistan yang diwarisi daripada ayah saya (ketawa),” ujarnya bersahaja.
Bercerita lanjut, Harris berkata, sejak pertama kali terbabit dalam dunia nyanyian di Singapura, khalayak yang melihatnya acap kali menyamakannya dengan bintang antarabangsa, bekas anggota kumpulan One Direction, Zayn Malik.
Meskipun memikul tanggungjawab baharu sebagai seorang suami, Harris berkata, dia tidak akan memperlahankan langkahnya sebagai penyanyi, bahkan akan terus berkecimpung kerana mendapat sokongan daripada isteri tersayang.
“Apa saya boleh lakukan? Orang yang melabelkan saya sebegitu. Saya hanya menjadi diri sendiri. Di Singapura, ke mana sahaja saya pergi orang akan menyangka saya sebagai Zayn .
“Ada kesan positif disamakan dengan penyanyi terkemuka dunia hanya kerana wajah saya dan dia (Zayn) mirip. Bagaimanapun, bagi saya tidak adil buat saya yang masih lagi baharu dalam industri. Saya mahu orang kenal saya kerana bakat, bukan kerana hal lain,” getus Harris.
Disogok persoalan tentang dirinya yang selesa berbicara dalam bahasa Inggeris, namun mahu memahat nama sebagai penyanyi di Malaysia, Harris tidak mudah melenting, namun positif dengan peluang yang diberikan daripada orang ramai kepada dirinya.
“Saya memang tidak mahir berbahasa Melayu. Di rumah, keluarga saya tidak menggunakan bahasa Melayu. Memang sukar buat saya terutama apabila diminta bercakap dalam bahasa Melayu.
“Namun, saya percaya bahawa sesuatu bahasa itu boleh dipelajari. Berikan saya masa supaya saya dapat memperbaiki diri, sekali gus menguasai bahasa Melayu,” ujarnya bersungguh-sungguh.
Katakan
Beralih bicara mengenai perjalanan kerjaya nyanyian yang baru sahaja mahu diluncur, Harris amat berbesar hati kerana diberi peluang menyanyikan lagu ciptaan penyanyi kegemarannya iaitu Faizal Tahir menerusi single pertama berjudul Katakan.
“Saya meminati muzik Faizal Tahir. Saya sendiri memberanikan diri untuk bekerjasama dengannya melalui satu mesej terus di laman Instagram.
“Alhamdulillah, selepas lebih kurang dua minggu, dia (Faizal) membalas mesej tersebut dan memberi tanda positif. Sejak itu, kami berjumpa dan berbincang sehinggalah terhasilnya lagu Katakan yang ditulis dan diterbit oleh Faizal, Mike Chan dan Ezra Kong,” ceritanya.
Tambahnya, Faizal banyak memberi tunjuk ajar dan nasihat untuk dirinya terus berkecimpung dalam bidang nyanyian dan membina nama di Malaysia.
“Faizal umpama seorang abang kepada saya. Dia seorang pemuzik yang sangat kreatif dan itu membuatkan saya ingin bekerjasama dengannya,” ujarnya menutup bicara.