JANET JACKSON dan suaminya, Wissam Al Mana.
Penyanyi terkenal, Janet Jackson hamil anak pertamanya pada usia 50 tahun. Perkara tersebut telah disahkan oleh sumber terdekat dengan penyanyi berkenaan dalam program Entertainment Tonight baru-baru ini.
Bagaimanapun sehingga kini, Janet mahupun suaminya, Wissam Al Mana, 41, belum mengumumkan perkara berkenaan kepada khalayak. Namun, penundaan konsert jelajah Unbreakable pada bulan lalu telah menguatkan lagi spekulasi kehamilan tersebut.
Janet juga secara terbuka membuat permohonan maaf penundaan konsert jelajah itu di akaun Twitter miliknya dengan alasan dia dan suaminya sedang merancang keluarga.
“Dalam fasa kedua konsert jelajah ini terdapat perubahan drastik. Sangat penting bagi saya, peminat menjadi orang pertama yang tahu. Saya dan suami sedang dalam proses merancang keluarga. Oleh itu, saya terpaksa menunda konsert jelajah. Diharap peminat di luar sana faham situasi bahawa perkara ini (merancang keluarga) sangat penting untuk saya lakukan sekarang.
“Saya harus berehat mengikut nasihat doktor tetapi tidak pernah melupakan anda semua. Saya akan menyambung konsert jelajah secepat mungkin,” tulisnya di Twitter.
Terdahulu pada perayaan Krismas tahun lalu, Janet mengumumkan penundaan konsert jelajah di Amerika Utara kerana dia terpaksa menjalani pembedahan, namun menafikan menghidap kanser.
Janet sebelum ini melangsung perkahwinan secara rahsia dengan ahli perniagaan yang berasal dari Qatar pada 2012 tetapi hanya mendedahkannya pada 2013.