BARU sahaja diumumkan menjadi duta produk wangian dua minggu lalu, pelakon dan penyanyi yang kian meningkat naik, Ayda Jebat sekali lagi diumumkan menjadi duta produk kesihatan.
Gadis berusia 24 tahun ini mengikat kontrak selama setahun bersama Gintell dan menjadi duta bagi produk kerusi urut jenis De’Vano S FUNtastic Sofa.
Menegaskan tidak menerima tawaran kerana jenama semata-mata, menurut Ayda, dia bersetuju menjadi duta De’Vano S FUNtastic Sofa kerana ia sesuai dengan pelbagai usia terutamanya yang masih muda.
“Sebelum saya bersetuju untuk menjadi duta, saya dah mempertimbangkan pelbagai faktor termasuk jenis produk, harga yang bersesuaian. Kalau pihak Gintell melantik saya menjadi duta untuk kerusi urut yang harga RM10,000 saya mungkin tidak akan terima.
“Tapi kerusi urut De’Vano S FUNtastic Sofa sesuai untuk pelbagai usia dan juga mereka yang mementingkan kesihatan tetapi tidak mempunyai masa untuk ke gimnasium dan sebagainya,” katanya kepada Zass ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Ayda, dia tidak pernah menggunakan mana-mana produk Gintell sebelum ini dan tawaran yang datang ibarat bulan jatuh ke riba.
“Ketika mendapat tahu mengenai tawaran ini saya tidak tidur malam memikirkan betul ke mereka tawarkan saya menjadi duta.
“Dan bukan memuji kerana saya sudah menjadi duta tapi De’Vano S FUNtastic Sofa memang bagus kerana selain harga yang jauh lebih murah, ia juga membantu membentuk pinggul yang lebih menarik apabila digunakan,” katanya.
Ujar Ayda lagi, dia juga tidak semberono menerima tawaran menjadi duta untuk menaikkan namanya, tetapi akan memilih produk yang benar-benar sesuai dengan dirinya.
“Tidak dinafikan saya menerima banyak tawaran yang mahu menjadikan saya duta mereka, tetapi saya akan lihat dulu produk dan kesesuaian dengan saya.
“Saya tak mahulah tangkap muat sahaja menerima segala tawaran yang datang dan akhirnya saya sendiri yang susah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Gintell (M) Sdn Bhd, Datuk Goh Cheh Yak berkata, mereka memilih Ayda sebagai duta kerana populariti dan aura yang dimiliki gadis kecil molek itu.
“Saya rasa sofa ini amat sesuai dengan Ayda dan peminatnya. Saya juga merasakan Ayda boleh membantu melariskan lagi jualan De’Vano S FUNtastic Sofa selepas ini,” katanya.
Bahagi masa
Ditanya bagaimana dia menguruskan masa lantaran kesibukan tugas sebagai pelakon, penyanyi, duta dan juga sebagai seorang anak, Ayda berkata, dia bertuah kerana mempunyai keluarga serta peminat yang memahami dan memberi sokongan penuh.
“Tidak dinafikan jadual saya memang penuh, tapi saya bertuah kerana ada pengurus yang banyak membantu mengurus jadual saya dan keluarga juga sangat memahami.
“Di samping itu, siri jelajah sebagai duta juga banyak membantu saya mendekatkan diri dengan peminat di seluruh Malaysia,” katanya.
Beralih kepada perkembangan terbarunya, Ayda baru sahaja tamat penggambaran filem Pinjamkan Hatiku bersama pelakon Shaheizy Sam dan Farid Kamil di bawah arahan Osman Ali.
“Ada banyak momen sepanjang penggambaran filem ini dan ia tidak akan dilupakan. Kami menjalani penggambaran di Kuantan, Pahang dan bayangkan sepanjang berada di sana, saya dan kru lain terpaksa menyusur hutan sambil mengangkat kamera serta besi-besi kren untuk sampai ke lokasi Air Terjun Pelangi, Sungai Lembing dan perjalanan itu mengambil masa lebih kurang satu jam.
“Selain cabaran yang terpaksa kami tempuhi, kematian seorang kru akibat kemalangan jalan raya selepas pulang dari set penggambaran sangat memberi kesan kepada saya,” katanya berharap filem itu akan diterima nanti.