
PERTEMUAN yang diatur bersama pelakon ini mencetuskan satu fenomena luar biasa. Sesi temu bual dan fotografi beberapa kali terhenti apabila ada sahaja peminat mendekati dan meminta untuk bergambar dengannya.
Tidak pernah lekang dengan senyuman comel, lelaki ini sentiasa bersedia untuk bergambar dengan peminat tidak mengira jantina mahupun usia.
Benar, itulah imbuhan yang diperoleh pelakon sedang memuncak naik menerusi drama tayangan Astro, Dia Semanis Honey (DSH), Alif Satar. Tempoh 10 tahun bertapak dalam industri hiburan, kini segala usaha penat lelah berdiri atas bakat sendiri berbayar.
Biarpun bukan antara selebriti lelaki mempunyai paras kacak, namun manisnya tetap ada. Itulah pesona yang ada terhadap lakonan romantis dan bersahaja watak Ahnaf yang dipegang Alif atau nama sebenarnya, Muhammad Alif Mohd. Satar.
“Alhamdulillah, drama DSH menaikkan nama saya dalam bidang lakonan. Diakui, saya bermula dengan nyanyian dan ramai yang mengenali saya sebagai penyanyi walaupun pada ketika itu saya sudah mula menceburkan diri dalam bidang pengacaraan dan lakonan. Bagaimanapun, ketika itu penonton hanya sekadar melihat saya sahaja tetapi mereka tidak memberi perhatian.
“Mungkin faktor DSH ini ditayangkan pada waktu tepat, selain dicampur dengan elemen populariti Siti Nordiana dan sentuhan pengarah Michael Ang, menjadikan drama ini meletup. Secara tidak langsung, saya juga mendapat kesannya dan saya sangat gembira dengan sambutan ini,” katanya mesra membuka bicara.
Melanjut perbualan, Alif mengakui dirinya agak lambat untuk mencipta nama berbanding selebriti lain, namun secara terbuka dia berkata, perkara itu bukanlah masalah besar buat dirinya.
Ternyata semangat yang dimiliki lelaki berusia 26 tahun itu tidak mudah luntur begitu sahaja. Baginya, perkara terpenting bukanlah untuk mengejar populariti semata-mata tetapi dengan berbekalkan minat dan niat untuk mencari rezeki akhirnya ia terbayar.
“Saya memang sentiasa ada dalam industri sejak memulakan kerjaya pada tahun 2006. Bagaimanapun, impak daripada drama ini membuatkan peminat mula nampak bakat saya.
“Jujur saya katakan, walaupun kurang popular tetapi saya bersyukur kerana sepanjang 10 tahun menjadi anak seni, saya konsisten apabila tawaran menyanyi, mengacara dan berlakon tidak pernah putus.
“Pada saya, bakat lebih penting kerana saya tidak mahu menjadi artis yang cepat naik tetapi hilang selepas itu,” ujar Alif optimis.
Transisi berjaya
Berbicara perihal lakonan cemerlang dalam DSH, Alif kemudian ditebak persoalan tentang perkara yang membuatkan dirinya menerima tawaran berlakon karya arahan Michael Ang bersama Hadith Omar itu.
Lelaki ini akan mula bercuti daripada kerjaya seni sempena kedatangan bulan Ramadan dan perayaan Aidilfitri nanti.
Dalam nada teruja, dia memberitahu, Michael Ang merupakan punca utama dia tidak berfikir panjang dan terus menerima tawaran itu.
Alif menyifatkan pengarah itu mampu memberi dia ruang menonjolkan bakat lakonannya tanpa sekatan. Tambah pelantun lagu Jangan Nakal itu lagi, kebebasan tersebut membuatkan transisi perubahan yang cuba dilakukan dalam lakonan kali ini berjaya membuatkan lakonan lebih semula jadi.
“Semasa dalam set penggambaran DSH, pengarah tidak pernah menghalang apabila saya ingin menyampaikan skrip dalam bahasa Inggeris. Saya tidak mahu terlalu mengikut skrip, sebolehnya saya akan membuatkan ia nampak semula jadi dan perkara itu tidak dihalang oleh pengarah. Ternyata ia menjadi.
“Jika hendak dibezakan antara lakonan dahulu dan sekarang, rasanya saya sudah lebih matang dan tahu kehendak penonton. Malah, saya juga lebih memahami tentang perjalanan sesebuah penggambaran diadakan, jadi perkara tersebut banyak membantu mutu lakonan saya,” katanya yang akan memulakan sesi penggambaran Dia Semanis Honey Raya pada hujung bulan ini.
Melihat kepada lakonan romantis Ahnaf bersama Hani Safira, watak yang dipegang oleh Siti Nordiana, sengaja kemudian bapa kepada puteri comel bernama Alisha Anugerah itu diusik dengan pertanyaan perihal adakah isterinya cemburu.
Sentiasa menyokong kerjaya suaminya, Alif bagaimanapun membongkar rahsia isterinya, Sha Dila Halid mempunyai cara tersendiri untuk memberitahu dirinya sedang cemburu.
“Isteri saya turut menonton drama tersebut tetapi paling kelakar apabila dia tidak mahu melihat adegan romantis dan kadangkala menunjukkan reaksi jelek kerana dia tahu itu bukanlah diri saya.
“Apabila dia merasa cemburu, Sha akan mengekspresi perasaan tersebut dengan cara kelakar. Pun begitu, dia sangat memahami diri saya kerana tanpanya saya tidak rasa mampu pergi sejauh ini,” ceritanya bersunguh-sungguh.
Minat
Beralih bicara, dalam sesi fotografi yang diatur pada hari itu, Alif sengaja diminta membawa motosikal berkuasa tinggi miliknya.
Di luar atmosfera dunia seni, lelaki itu merupakan salah seorang peminat motosikal berkuasa tinggi. Dia juga memulakan aktiviti mengumpul motosikal berkuasa tinggi itu sejak berumur 18 tahun lagi.
Ujar Alif, kerana obses mengumpul motosikal berkuasa tinggi, dia pernah mempunyai sehingga tiga buah motosikal berkuasa tinggi pada suatu masa.
“Motor pertama saya ketika berumur 18 tahun adalah Ducati Monster 696. Boleh dikatakan ketika zaman bujang dahulu, saya sering mengikut rakan-rakan secara konvoi sehingga ke Phuket, Thailand dengan motosikal besar.
“Bagaimanapun, selepas berkahwin dan mempunyai anak, saya sudah mengurangkan aktiviti tersebut. Buat masa ini, inilah motosikal saya iaitu BMW S1000RR dan sebuah lagi motor Vespa,” simpulnya.
Kata Alif lagi yang baru membeli kereta selepas mendirikan rumah tangga, dia lebih cenderung menunggang motosikal kerana mudah untuk bergerak dalam keadaan jalan raya di ibu kota yang sesak.
“Saya sangat jarang memandu kecuali bersama keluarga kerana pada kebanyakan masa saya menunggang motosikal untuk ke lokasi penggambaran atau ke destinasi yang memerlukan saya tiba tepat pada masanya,” ujar Alif.