BAHAGIA - Menghargai detik pertama kali menjadi ibu bapa membuatkan Fouziah dan suami sentiasa mahu memberikan yang terbaik untuk anak mereka, Muhammad Zeeshan, lima bulan. Atas alasan tersebut, dia mengambil keputusan untuk menjaga sendiri zuriatnya tanpa bantuan pengasuh.
SELEPAS mendirikan rumah tangga pada 21 September 2013, rentak karier pelakon jelita Fouziah Gous dilihat sedikit perlahan, sementelah agak jarang melihat kelibatnya dalam kaca televisyen, kecuali menerusi Nona di TV3.
Fouziah, 34, yang menimang cahaya mata sulung pada hujung tahun lalu mengakui, situasi tersebut banyak dipengaruhi statusnya sebagai isteri orang. Sayap karier sedikit terbatas dan banyak kriteria tawaran harus diperhalusi lantaran komitmen bersama keluarga.
“Bukannya saya tidak mahu berlakon, tetapi selepas berkahwin, saya harus memperlahankan rentak karier. Salah satu sebab ialah kebanyakan tawaran yang diterima tidak kena dengan jiwa. Sebagai contoh, selalu dapat karakter sama dan ada sesetengah watak yang tidak sesuai dengan status saya sebagai isteri orang.
“Keduanya, situasi saya yang sudah mempunyai anak. Setiap hari saya perlu balik awal sebab mahu menguruskan anak. Keadaan ini memaksa saya untuk lebih selektif mengambil tawaran,” ujarnya.
Tidak lagi seperti hidup membujang, pelakon Sifu & Tongga itu rela menolak banyak tawaran lakonan kerana percaya terhadap konsep keikhlasan dan pintu rezeki yang tiada sekatan.
“Orang cakap, kalau kita betul-betul ikhlas melakukan sesuatu perkara, maka ganjarannya lebih besar dan tidak terduga. Saya mengakui kebenaran kenyataan tersebut. Biarpun terpaksa tolak banyak tawaran, tetapi saya menerima rezeki besar apabila dilantik menjadi duta kepada produk Power Root Per’l Xlim selama dua tahun,” kongsi Fouziah.
Biarpun masanya lebih banyak diluangkan bersama keluarga, Fouziah mengakui, jiwanya masih merindu dunia lakonan. Terkini, dia bakal muncul dalam sebuah telemovie Strawberi & Karipap: Hello Hong Kong menerusi saluran Astro Ceria (saluran 611).
“Salah satu sebab kenapa saya terima tawaran tersebut kerana pihak produksi sangat memahami keadaan saya yang baru bersalin. Sepanjang penggambaran, mereka menyediakan tempat khas untuk bayi kerana pada waktu itu saya terpaksa bawa anak ke lokasi kerana usianya baru beberapa bulan.
“Jadi, saya terpaksa lebih selektif dalam memilih kerja. Keadaan sekarang tidak mengizinkan saya bebas menerima apa sahaja tawaran kerja seperti dahulu,” ujarnya yang akan bercuti ke New York selama 10 hari bermula minggu depan bersama suami, Zhafran Yusof.
Anak fokus utama
Selepas melahirkan Muhammad Zeeshan pada 26 November tahun lalu, Fouziah juga mengambil pendekatan menjaga sendiri anaknya tanpa bantuan pengasuh. Baginya, cara sebegitu selamat dan selesa.
“Selagi boleh dan diberi kesempatan daripada segi masa dan tenaga, memang saya mahu jaga sendiri. Bagi saya, pengalaman menjadi ibu adalah momen yang tidak boleh dilepaskan kepada orang orang.
“Pada masa sama, saya terfikir, untuk apa menghabiskan wang ringgit mengupah pengasuh seandainya tanggungjawab itu masih boleh dilakukan sendiri. Kadangkala ibu mertua juga ada untuk membantu menjaga Zeeshan ketika saya keluar bekerja,” katanya.
Bergelar ibu buat pertama kali memberikan Fouziah pengalaman yang menyeronokkan. Situasi tersebut juga menghadirkan definisi baharu dalam hidupnya ketika ini.
“Saya sangat teruja apabila bergelar seorang ibu. Saya ada anak dan amanah yang perlu dijaga dengan baik.
“Selepas mempunyai anak, hidup menjadi lebih teratur dan mengajar saya menjadi seorang yang lebih berdisiplin dalam menunaiklan apa sahaja tanggungjawab” katanya.
Semakin matang
Masih bergulir tentang dimensi baharu hidupnya, Fouziah berkata, pengalaman mengandungkan dan melahirkan Zeeshan membuatkan naluri keibuannya semakin menebal.
“Pengalaman bergelar ibu membuatkan saya lebih matang. Masa banyak dihabiskan dengan anak. Secara dasarnya, situasi itu mengelakkan saya daripada menghabiskan masa memikirkan perkara merepek yang tidak mendatangkan kebaikan.
“Sekarang, pengisian masa saya semakin berkualiti. Setiap proses tumbesaran anak menjadi detik indah bagi semua ibu termasuk saya,” ujarnya bersungguh.
Kehadiran seorang anak juga mampu merubah sikap seseorang wanita. Jika selama ini tumpuan lebih terarah kepada suami atau diri sendiri, kini anak menjadi keutamaan. Perkara sama turut diakui Fouziah.
“Kadangkala, apabila pulang ke rumah, persoalan pertama yang ditanyakan ialah tentang anak, sama ada dia okey atau tidak, sudah makan atau belum. Kemudian, baru saya menanyakan soalan serupa kepada suami (ketawa).
“Segalanya sudah jadi terbalik berbanding sewaktu awal perkahwinan. Dahulu saya hanya ada suami, tetapi sekarang perhatian perlu dibahagi sama rata, kepada anak dan suami,” cerita Fouziah ceria usai majlis pelantikannya sebagai duta produk Power Root Per’l Xlim yang berlangsung di Green House by Muir, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Berbesar hati diberi kepercayaan menjalankan peranan sebagai jurucakap sebuah produk terkenal, menariknya ujar Fouziah, dia sendiri merupakan pengguna tegar Power Root Per’l Slim sejak hamil.
“Sebenarnya, suami yang mula-mula menggunakan produk tersebut. Selepas beberapa bulan, berlaku perubahan berat badan dan dia mengesyorkannya kepada saya.
“Ramai peminat menanyakan rahsia saya untuk kekal langsing biarpun baru melahirkan anak. Sebenarnya inilah rahsia yang saya amalkan sejak hamil lima bulan,” tutup Fouziah.