Ahya Rosli minta agar diberi peluang untuk menjadi seorang pelakon yang baik seperti ibunya.
Pelakon Ahya Rosli meminta diberi peluang untuk belajar untuk menjadi seorang pelakon yang baik setanding ibunya aktres Normah Damanhuri.
Ahya, 29, berkata, dia tidak mahu penonton terus menilai tahap lakonannya hanya kerana dia merupakan seorang anak seorang pelakon berpengalaman.
"Jangan terus letak jangkaan saya sama seperti lakonan hebat ibu, dia sudah 30 tahun jadi pelakon dan saya baru dua tahun sudah tentu banyak kekurangannya.
"Berilah peluang saya timba pengalaman dan belajar lakonan itu sedikit demi sedikit. Ia seperti ibu anda seorang tukang masak tidak semestinya anda boleh terus pandai masak tanpa belajar," ujarnya kepada mStar Online.
Ahya berkata demikian ketika diminta mengulas tentang tahap lakonannya sebagai pelakon utama dalam filem Harmonika.
Ahya bergandingan dengan Siti Elizad dalma filem Harmonika.
Bagaimanapun, Ahya berkata, dia kini sedang cuba untuk belajar lakonan dengan betul dan bersungguh-sungguh.
"Saya selalu minta mama (Normah Damanhuri) untuk ajar bagaimana buat sesuatu watak, selain itu pelakon-pelakon senior lain juga sentiasa beri tunjuk ajar jika saya tidak tahu.
"Alhamdulillah, apa yang saya lihat lakonan saya ada peningkatan sedikit demi sedikit," ujarnya.
Tambah Ahya, dia yakin dapat memberi lakonan yang lebih baik jika benar-benar fokus dan diterima sebagai pelakon dalam industri.
"Saya dikenali sebagai model dan dulu lakonan hanya saya buat secara suka-suka sahaja, tidak terlalu fokus. Sejak dua tahun ini baru saya minat dan rasa ingin pergi lebih jauh lagi.
"Insya-Allah, kalau betul-betul fokus setahun akan nampak hasilnya," kata Ahya.
Sementara itu, Ahya yang bakal bergandingan dengan pelakon Siti Elizad dalam filem Harmonika mengakui sukar untuk membawakan watak sebagai seorang bapa.
Katanya, perwatakan dia yang kebudak-budakkan menyukarkannya untuk mendalami watak yang serius dan bermain dengan perasaan.
"Cabaran filem ini saya terpaksa membawakan watak sebagai seorang ayah kepada dua anak, ia memang sukar.
"Saya jenis seorang yang gila-gila dan tiada masalah dalam hidup, jika watak yang berat dan serius sudah tentu sukar untuk saya bawakan," ujarnya.
Filem arahan Raja Mukhriz itu ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 5 Mei 2016.