Jihan, Syuk punya peminat tersendiri


MENGAKUI pemilihan Jihan Muse dan Syuk Balas kerana mereka mempunyai peminat tersendiri, kata Hans, sebagai penerbit dia sentiasa menyahut cabaran menampilkan muka-muka baharu menerusi Lawak Ke Der.

Jelasnya, lebih-lebih lagi dalam maklum balas dijalankan kedua-dua pelawak itu mendapat undian tertinggi.

“Apabila saya ke mana-mana, saya akan bertanya kepada orang ramai, siapa mereka mahu lihat di pentas Lawak Ke Der, dan terbaharu mereka mahukan Jihan serta Syuk.

“Saya fikir mengapa tidak, sementalah kedua-dua pelawak ini antara pelawak yang semakin perhatian.

“Mereka juga berjaya mencipta nama dalam bidang ini dan punya reputasi yang baik,” katanya.

“Tambah Hans lagi, dia juga melakukan pemerhatian sama ada lawak artis terbabit sesuai atau tidak untuk program lawak itu.

“Bagaimana dia melawak dan adakah ia sesuai atau tidak dengan program kami ini juga diambil kira.

“Selepas itu barulah saya buat keputusan untuk memilih mereka,” katanya.

Bercakap mengenai beberapa pelawak yang dikekalkan seperti Harith, Douglas dan Nabil, kata Hans, ini kerana mereka ini adalah pengenalan kepada program itu.

“Setiap musim mereka sentiasa dinantikan penonton dan lawak-lawak disampaikan juga menepati inti pati program ini,” katanya.



Rayza berbangga

Masih baharu dalam arena lawak tempatan, Rayza Mukmin memberitahu, dia sangat berbangga apabila diberi kesempatan tampil dalam program lawak popular itu.

“Jika sebelum ini saya hanya tampil beberapa minat sebagai selingan, tetapi kali ini saya diberi masa 20 minit sama seperti pelawak lain.

“Memang saya teruja tetapi cabaran baharu bagi saya untuk memastikan lawak itu nanti berbeza.

“Apapun, saya berterima kasih kepada Hans kerana beliau bertanggungjawab memperkenalkan saya kepada industri ini,” katanya.

Ditanya bagaimana dia melakukan persiapan kerana masih sibuk dengan Maharaja Lawak Mega (MLM) 2016, jelasnya, dia sedang bekerja keras dalam memastikan kedua-dua lawak disampaikan tidak kosong.

“Memang sukar kerana kedua-dua program ini hampir bertembung. Bagaimana pun, saya akan pastikan ia tidak memberi tekanan kepada diri saya sendiri.

“Mengenai pemilihan lawak disampaikan nanti, saya sudah punga gambaran dalam minda. Mungkin ianya kesinambungan daripada lawak pernah dipentaskan di IB sebelum ini,” akuinya bukan mudah menjadi solo komedian.

Sherry tidak mahu dibandingkan

Bakal mengendalikan Lawak Ke Der 2016 sebagai hos, kata Sherry penampilan tahun sebelum ini memberikan pengalaman kepadanya.

“Tetapi tahun ini berbeza kerana Nabil juga menjadi hos.

“Bimbang juga audiens banding-bandingkan kami. Tetapi kerana saya perempuan, sudah tentu lawak saya nanti sangat berbeza dengannya,” katanya.

Tambah Sherry, pada awalnya dia terfikir jika dia dan Nabil digandingkan sepentas.

“Mungkin lebih meletup kalau kami bersama-sama mengendalikannya bersama, apapun, saya cuba pastikan penampilan saya nanti menjadi dan mendapat tepukan gemuruh daripada penonton,” katanya.

Berkongsi garis panduan pengacaraan pula, kata Sherry dia hanya tidak akan menyentuh syarat ditentukan Hans sahaja.

“Lain-lain saya akan buat sehingga penonton ketawa terbahak-bahak,” katanya lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post