Faye Kusairi tahu siapa buat aduan khalwat tapi biar Jais dedah


Rumah keluarga pelakon Faye Kusairi diserbu Jais pada awal pagi 10 April lalu susulan aduan, kononnya beliau berkhalwat dengan suami orang.

Kini bukan lagi rahsia angkara siapa yang menimbulkan kekecohan di rumah ibu bapa pelakon Faye Kusairi kira-kira jam 2 pagi 10 April lalu apabila mendakwa ada kes khalwat di situ.

Seorang pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sendiri yang mendedahkan pengadu yang mendorong serbuan itu di Bukit Antarabangsa, Hulu Kelang, kata pelakon Faye Kusairi.

Faye, nama popular Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, berkata pendedahan itu dibuat dalam satu pertemuannya bersama Jais beberapa hari selepas insiden pecah masuk itu.

“Saya tidak syak. Saya datang dengan hati terbuka nak tahu SOP (prosedur operasi piawai). Dia tersasul satu nama dan dakwa ada kaitan,” katanya kepada ProjekMMO hari ini.

“Nama sudah ada cuma saya tidak boleh beritahu sebab Jais yang kena cakap. Penolong pengarah Jais sudah cakap dengan saya, sebut nama, tapi bukan hak saya untuk beritahu.

“Saya hendak mereka cakap kepada media atau orang ramai, jelaskan siapa pengadu. Mereka yang perlu buat. Mereka yang terima fitnah. Siapa suruh mereka terima?”



Jais menyerbu unit kondominium dupleks keluarga Faye, 29, selepas menerima aduan bahawa pelakon drama “Pujaan Hati Umi” berkhalwat dengan suami orang.

Dalam kejadian 2 pagi itu, Faye yang tiada di rumah berkenaan, mendakwa anggota Jais memotong mangga jeriji pintu masuk sebelum mengejutkan adiknya yang sedang tidur.

ProjekMMO menghubungi Jais hari ini untuk mendapat penjelasan namun seorang pegawai berkata jabatan itu enggan mengulas buat masa ini.

Dihubungi hari ini, Faye meluahkan kekesalannya atas sikap Jais yang seakan-akan lepas tangan selepas membuat serbuan mengejut itu.

“Ini yang saya kecewa sebab mereka tidak cakap apa-apa. Tidak patut mereka cakap ‘tiada komen’.

“Mereka tidak mahu komen, mereka diam tidak mahu cakap apa-apa, mereka hendak saya saman ke apa?” katanya lagi.

“Kalau nak saya saman, saya boleh saman tetapi mereka yang teruk. Mereka kena jawab juga.”

Jumaat lalu, Berita Harian melaporkan pelakon “Istikharah Cinta” itu berasa teraniaya apabila keluarganya diperlakukan sedemikian.

“Malah, pihak si pengadu turut memberi jaminan kepada pihak Jais untuk menanggung kos kerosakan sepanjang proses serbuan berlangsung,” Faye dipetik berkata.

“Maruah keluarga saya turut tercemar apabila insiden terbabit disaksikan oleh jiran tetangga. Saya juga risaukan ibu saya yang menghidap darah tinggi.”

Faye juga berkata ketika serbuan awal pagi itu hanya ayah, ibu dan adik lelakinya berada di rumah. Pelakon “Aku Isterinya” tiada ketika serbuan kerana tinggal di rumah lain bersama rakan.

Beliau juga dilaporkan risau apabila pengadu mengetahui kelima-lima kereta milik saya dan keluarga. “Ia membuatkan saya risau ketika keluar rumah untuk bekerja,” dia dilaporkan berkata.

Post a Comment

Previous Post Next Post