Syifa Melvin tidak dipengaruhi kakak dan abang ipar




Sekilas pandang, wajah gadis kacukan Melayu Cina dan berkulit mulus bernama Syifa Melvin ini memang saling tidak tumpah seperti kakaknya yang juga pelakon popular tanah air, Syatilla Melvin.

Maka tidak mustahil bahawa sudah banyak kali Syifa, 24, sering disalah anggap sebagai Syatilla. Pernah terjadi peminat meminta untuk merakam foto kenangan bersama kerana menyangka dia ialah kakaknya.

Cerita anak kelahiran Parit Buntar, Perak itu lagi, kadang-kadang dia hanya mengiakan sahaja anggapan peminat kerana tidak mahu mereka berasa malu andai mengetahui bahawa dia ialah Syifa dan bukan Syatilla.

“Kelakar juga sebenarnya kerana peminat sangat yakin memanggil saya dengan nama Syatilla dan mahu bergambar bersama. Seingat saya, kejadian tersebut berlaku ketika nama kakak sedang meningkat naik.

“Melihat kesungguhan mereka, saya turutkan sahaja permintaan tersebut. Namun, peristiwa berkenaan berlaku kira-kira lima tahun lalu, sekarang ramai sudah mula boleh membezakan antara Syifa dan Syatilla,” katanya sewaktu ditemui pada majlis sidang akhbar drama pendek lima episod #SisCuba yang dibawakan oleh Sunsilk di Balai Berita, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menerusi drama tersebut, Syifa yang pertama kali berlakon digandingkan dengan Nabila Razali, Sarah Suhairi dan Aiman Hakim Ridza. Drama #SisCuba mengisahkan perjalanan tiga sahabat baik menempuh kehidupan selepas zaman persekolahan.

Minat semula jadi

Biarpun memiliki kakak yang sudah lama bergelar pelakon dan abang ipar, Shaheizy Sam yang merupakan seorang pelakon prolifik, pemilik nama Nur Syifa Athirah Amirol Melvin memberitahu, hubungan persaudaraan berkenaan bukanlah sebab utama dia terjun dalam bidang lakonan.

Kata Syifa, dia tidak mahu dituduh menumpang populariti kakak dan abang iparnya, sebaliknya mahu dikenali atas bakat sendiri serta mahu bermula daripada bawah.

Oleh sebab itu, dia belajar untuk membina jenama Syifa Melvin menerusi media sosial, tawaran model Muslimah dan juga hos rancangan tanpa memilih jalan mudah dengan menggunakan nama Syatilla atau Sam.

“Jika saya mahukan jalan pintas, sejak tujuh tahun lalu saya sudah boleh meminta Syatilla cadangkan nama saya kepada mana-mana pengarah. Namun, saya tidak suka naik dengan cara begitu.

“Lagipun pada waktu itu saya belum meminati bidang lakonan. Minat tersebut mula hadir selepas saya mengacara program Pesona Muslimah tahun lalu dan mula terbiasa dengan kamera. Sebelum itu, saya sudah dikenali sebagai instafamous sejak tamat zaman persekolahan pada tahun 2011,” ujarnya.

Ditebak adakah Syatilla memberikan sebarang pesanan apabila dia memutuskan untuk menceburkan diri dalam dunia lakonan, Syifa hanya tertawa besar sambil memberitahu, kakaknya lebih suka dia belajar sendiri tentang selok belok industri.

“Syatilla ada juga berpesan supaya kalau betul-betul mahu menjadi pelakon, jangan main-main, kena pandai jaga diri dan perlu hormati media. Selebihnya dia mahu saya rasai sendiri pengalaman tersebut,” tuturnya.

Belajar

Pada masa sama, anak ketiga daripada lima beradik itu tidak menolak untuk mengikuti kelas lakonan andai sudah tertulis rezekinya bergelar seorang pelakon.

Mengambil inspirasi daripada abang iparnya yang masih menghadiri kelas lakonan biarpun sudah bertahun-tahun bergelar anak seni, Syifa memberitahu, dia tidak mahu bersandarkan rupa paras sahaja apabila dipilih oleh pengarah.

Mengakui masih bertatih dalam bidang lakonan, Syifa berasakan adalah lebih baik menuntut ilmu dengan mereka yang benar-benar berpengalaman berbanding keluarga sendiri.

“Jika belajar dengan Syatilla mesti tidak menjadi kerana kami tidak pernah serius. Kalau berjumpa mesti asyik bergurau dan ketawa sahaja. Begitu juga dengan Sam yang sama-sama suka mengusik.

“Mungkin kalau ada tawaran untuk berlakon bersama mereka, saya perlu berfikir banyak kali. Namun, sebagai pendatang baharu, ia merupakan cabaran dan peluang keemasan kerana dapat bergandingan dengan pelakon senior seperti mereka berdua,” jelasnya.

Memiliki raut wajah yang hampir serupa dengan kakaknya, Syatilla Melvin, pendatang baharu Syifa Melvin tidak mahu dikenali atas tiket adik kepada selebriti popular dan mahu membina kerjaya dengan bakat sendiri.

Post a Comment

Previous Post Next Post