Hati Achey luluh penderitaan penyakit ibu

Luluh hati pelawak popular, Achey apabila mengetahui ibunya, Ngaisah Hassan, 73, berdepan dengan penyakit jarang dijumpai hingga menyebabkan berat badan susut lebih 20 kilogram.

Achey berkata, doktor memaklumkan ibunya mempunyai masalah di sepanjang saluran pankreas.

"Selepas menjalani pemeriksaan, doktor mendapati ada ketumbuhan yang menyebabkan saluran pankreas membesar sehingga

15 milimeter. Sebelum ini, hanya lima milimeter. Dan bukan saluran pankreas sahaja, malah hempedu juga mempunyai masalah.

"Sebenarnya, saya sudah membawa ibu ke Putra Specialist Batu Pahat, Johor, tetapi tidak dapat mengesan penyakit. Jadi, saya bawa pula buat pemeriksaan pakar di KPJ Johor Specialist Hospital.

"Selepas pemeriksaan menerusi teleskop, doktor mengesahkan penyakit ini agak ganjil dan tidak pernah ditemui. Untuk menjalani proses kemoterapi tidak sesuai kerana ia membabitkan organ yang sangat lembut.

"Jadi, ujian tisu perlu dilakukan dan saya sedang menunggu keputusan. Selepas diperiksa oleh pakar, barulah keputusan berkaitan pembedahan akan dibuat," katanya kepada BH Online.

Achey berkata, keputusan itu hanya diketahui pada 22 Jun ini.

"Luluh hati saya mendengar penerangan doktor pakar. Saya bertanya pada diri sendiri kenapa ia terjadi pada emak saya. Sebab, saya hanya ingat emak hanya merindukan arwah abah, Hamzah Salam yang meninggal dunia pada 19 Mac lalu.

"Namun, selepas dua bulan arwah abah meninggal dunia, emak mengalami angin pada ulu hati. Sejak itu, berat badan emak turun mendadak daripada 70 kilogram (kg) kepada 55 kg.

"Saya tahu emak menghidap gastrik. Saya ada bertanya pada doktor adakah ia antara puncanya, tetapi doktor mengatakan perkara ini berlaku antara enam bulan hingga setahun lalu," katanya.

Pelakon filem Abang Long Fadil 2 dan Tiada Tajuk itu berkata, melihat keadaan luaran ibunya bagaikan tiada simptom yang menunjukkannya berdepan dengan masalah kesihatan.

"Doktor mengatakan emak seorang yang kuat pada usia 73 tahun. Jadi, macam mana pun saya kena reda.

"Sekarang, emak sudah selesai menjalani pemeriksaan dan diarahkan pulang sehingga keputusan dimaklumkan. Doktor juga berpesan supaya menggembirakan emak dalam masa ini," katanya.

Baru sahaja muncul dengan single terbaharu berjudul Sembuh, Achey berkata, dia akan berusaha mencari alternatif lain untuk mengubati ibunya.

Terdahulu, Achey memuat naik gambar bersama ibunya menjalani pemeriksaan di hospital dan dalam ambulans menuju ke hospital.

Anggota kumpulan Bocey itu berkata, dia sudah hampir tiga bulan berada di kampung halaman di Segamat, Johor.

"Hikmah berada di kampung sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Saya sudah berada di sini ekoran menguruskan perniagaan Bubble Bee dan beberapa perniagaan lain.

"Tetapi, saya tetap memohon surat kebenaran merentas daerah kerana mahu setiap urusan dipermudahkan dan tiada halangan. Alhamdulillah, surat sokongan hospital dan surat kebenaran merentas semuanya diperoleh.

"Cuma, saya kesal membaca komen netizen mengecam mengenai berita ini. Mereka mempersoalkan mengapa saya tidak bawa emak menjalani pemeriksaan. Saya cuba untuk tidak terlalu memikirkannya dan fokus menjaga emak," katanya.

Dengan itu, Achey memohon peminat mendoakan kesembuhan ibunya.

Post a Comment

Previous Post Next Post