Hael Husaini rindu dengan sorakan penonton

Penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini mengambil pendekatan lebih berhati-hati sebelum memuat naik hantaran di media sosial.

Ia susulan golongan selebriti antara yang menjadi perhatian dan sasaran warganet membabitkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Hael, 34, berkata, dia sebolehnya mahu menjaga sensitiviti dan mengelakkan perkara itu disalah tafsir.

"Sebenarnya walau siapa pun kita, kita cubalah sedaya upaya untuk mengikut SOP. Saya sangat jarang keluar rumah ketika pelaksanaan PKP melainkan atas urusan penting atau kerja.

"Saya juga sangat berhati-hati dengan apa yang saya kongsi di laman sosial bagi menjaga sensitiviti dan mengelakkan orang salah tafsir," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya perkara pertama dan paling rindu untuk dilakukan jika aktiviti seni kembali beroperasi, Hael yang popular menerusi lagu Jampi berkata, dia rindukan membuat persembahan pentas dengan kehadiran penonton dan peminat.

"Saya sangat rindu untuk melakukan persembahan yang boleh dihadiri penonton. Sorakan dan reaksi mereka semasa menyaksikan persembahan adalah tenaga yang saya sangat rindu.

"Saya juga akan menjayakan konsert jika suatu hari nanti penonton sudah dibenarkan untuk menghadiri acara hiburan," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post