Miller Khan bawa tunang naik helikopter

Pelakon kelahiran Malaysia yang menempa nama di Indonesia, Miller Khan, 33, selamat bertunang dengan pereka fesyen, Farina Rebecca, 30, di Jakarta, semalam.

Majlis pertunangan itu berlangsung sehari sebelum adiknya, Isa Khan, mendirikan rumah tangga dengan Risteena Munim, pada pagi, hari ini.

Miller atau nama sebenarnya Mohammad Suhaemi Ali Dad Khan memilih untuk mengabadikan kenangan terindah itu dengan membawa wanita pilihannya itu menaiki helikopter pada ketinggian kira-kira 300 meter atau 1,000 kaki dari aras laut.

Majlis pertunangan dihadiri keluarga dan teman rapat di sebuah hotel mewah di Jakarta, Indonesia.

Miller berkata, dia memilih tarikh hampir sama dengan adiknya bagi memudahkan dia mengingati hari bahagia mereka.

"Mudah buat saya mengingati tarikh pertunangan ini dengan hari bahagia Isa. 

"Saya bersyukur segala-galanya dipermudahkan untuk saya dan dia. Kalau tiada aral melintang, Insya Allah saya akan melangsungkan perkahwinan tahun ini," katanya.

Menurut Miller, antara sebab utama dia tertarik dengan tunangnya itu kerana pandai berdikari.

"Farina tulus dan cantik seadanya. Dia juga pandai mengambil hati saya. Paling utama dia menyayangi saya," katanya.

Ditanya mengenai perkahwinan Isa dengan pelakon Risteena, Miller mendoakan kebahagiaan mereka meski tidak dapat berjumpa. 

"Saya harap Isa dapat menjadi imam terbaik untuk isterinya. Risteena juga kena tolong saya jaga Isa dengan baik," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post