Lisdawati nak bersanding lagi

Pelakon Lisdawati memasang impian untuk bersanding kali kedua dengan suaminya juga pelakon, Fauzi Nawawi.

Lisdawati berkata, keinginan itu timbul selepas melihat anak-anak yang berkahwin dalam keadaan menutup aurat.

"Bahagialah mereka yang bernikah dan bersanding dalam keadaan menutup aurat. Jangan jadi macam saya. Kecewa sebab semua itu hanya memori tak boleh tayang lagi.

"Sebenarnya, kapsyen pada hantaran di Instagram dengan mengajak Abang Poji (suami) bersanding semula adalah bergurau saja. Dia tahu pun selepas saya beritahu, tapi dia cakap buat masa sekarang biarlah fokus pada anak-anak.

"Dulu masa berkahwin saya tidak menutup aurat lagi. Berbeza dengan kebanyakan orang sekarang termasuk anak-anak kami, mereka menutup aurat. Jadi, gambar pun cantik saja. Itu yang saya fikir kalau dapat bersanding semula, dapatlah juga gambar elok-elok," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Lisdawati yang bakal meraikan ulang tahun perkahwinan ke-14 pada September nanti berkata, jika ada rezeki dan diizinkan Allah, dia tidak menolak perkara itu.

"Perkara ini tidaklah serius pun, tapi kalau ada rezeki, kita buatlah. Sebagai manusia tidak salah memasang impian dan merancang," katanya.

Berkongsi mengenai perkahwinan dibina, Lisdawati berkata, apa yang paling penting dalam perhubungan adalah saling mempercayai dan toleransi.

"Sebenarnya dalam rumah tangga paling penting kena saling percaya dan toleransi. Ramai tak boleh toleransi. Walaupun banyak mengalah, bukan bererti kita kalah. Jadi, perlu banyak berdoa pada Allah.

"Dengan berdoa saja Allah mampu mengubah nasib kita. Saya percaya pada rahsia Allah. Disebabkan itu apabila setiap kali datang masalah, Allah tempat kita mengadu dan berdoa," katanya.

Hasil perkahwinan itu, Lisdawati dan Fauzi dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Nur Aina Farhana, 13; Nur Aina Fazneesya, 12; Ahmad Nur Fyrdaus, 7; dan Ahmad Nur Fayyadh, 2.

Sebelumnya, menerusi perkahwinan pertama Fauzi, dia dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nurul Hainil Fatihah, 26; Fareez Hazwan, 24; Nurul Hana Farisya, 22; dan Mohd Fikri Hakimi, 19.

Post a Comment

Previous Post Next Post