Zynakal kecewa komen Azmeer

Penyanyi, Zynakal, 22, tidak dapat menyembunyikan kekecewaan apabila lagu Sakit nyanyiannya berkolaborasi bersama Yonnyboii gagal membolosi Anugerah Juara Lagu Ke-35 (AJL35).

Zynakal atau nama sebenarnya, Muhammad Raziq Rosli berkata, kesedihan kian dirasai apabila peminat meluahkan ketidakpuasan hati.

"Saya tentunya meletakkan harapan apabila lagu Sakit berjaya mara ke Separuh Akhir Muzik-Muzik Ke-35 (SFMM35). Jadi, saya tak menolak rasa sedih, kecewa dan terkilan. Apa yang membuatkan saya bertambah sedih apabila peminat yang mengharapkan lagu Sakit layak ke AJL35 turut berduka.

"Ada yang menghantar mesej langsung dalam Instagram (IG) bertanya kenapa lagu Sakit tidak berjaya dan meluahkan perasaan sedih.

"Bagaimanapun, saya mengambil perkara ini dari sudut positif, mungkin ada rezeki lain yang lebih baik. Saya ingat semula niat saya menghasilkan lagu Sakit. Saya mahu berkongsi perasaan dan tiada niat memasuki atau memenangi mana-mana pertandingan.

"Jadi, apabila saya sedih, saya ingat balik niat saya itu," katanya kepada BH Online.

Mengulas komen ketua juri AJL35, Azmeer yang mengatakan lagu ciptaannya bersama Yonnyboii itu sekadar lagu popular, Zynakal turut mengakui kekecewaannya.

"Apabila dapat tahu, saya rasa sedih dan kecewa kerana banyak benda yang boleh dibahaskan. Tetapi, kami tak mahu bahas kerana tahu itu adalah kerjanya. Azmeer mengetahui apa yang dilakukan dan Allah juga lebih mengetahui di sebalik semua ini.

"Sebaiknya, saya cuba faham situasi juri atau mana-mana pihak yang membuat keputusan. Mereka tahu apa yang dilakukan. Sebagai bakat baru, saya mungkin tak faham apa yang mereka buat.

"Mereka mungkin mahu penyanyi baru jangan terlalu cepat selesa, takkan baru lagi terus dapat masuk AJL. Mungkin terlalu cepat untuk kami rasa selesa dan ke pentas AJL. Jadi tidak mengapa, saya fikir positif dan memahami apa yang cuba disampaikan. Saya pasti perkara ini demi kebaikan kami," katanya.

Bagaimanapun, katanya, apabila mengingatkan semula persembahan pada SFMM35, ia sedikit sebanyak mengubati kesedihannya apabila berjaya menampilkan persembahan terbaik.

"Saya dan Yonnyboii tak rasa ada kekurangan ketika membuat persembahan pada SFMM35. Ini kerana, ia adalah persembahan lagu Sakit yang paling terbaik pernah dilakukan.

"Yonnyboii menyanyi dengan baik, saya juga tidak banyak mengubah lenggok lagu seperti yang dilakukan pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH Ke-33 (ABPBH33), baru-baru ini.

"Tetapi, mungkin di mata dan telinga juri berbeza. Nama pun juri, mereka ada ilmu dan pengetahuan. Ada kesalahan yang kami tak tahu, tetapi kami sudah melakukan yang terbaik," katanya.

Ekoran itu, Zynakal berkata, dia lebih semangat untuk terus mengeluarkan karya yang baik dengan sokongan peminat.

"Saya tak akan berputus asa menghantar lagu ke pertandingan ini. Saya percaya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Ini juga mendorong kami untuk melakukan yang lebih baik.

"Saya ada berbual dengan Yonnyboii mengenai perkara ini. Kami saling memberikan kata semangat untuk terus berjuang. Kami juga berbincang langkah seterusnya, memandangkan masih baharu dalam industri muzik," katanya.

Terbaharu, Zynakal tampil dengan single Perasaan. Video muzik akan dilancarkan pada 19 Disember ini sempena ulang tahun kelahiran ke-23.

Post a Comment

Previous Post Next Post