Namewee: Filem Babi tentang perpaduan, bukan hina Melayu

Pengarah filem Babi menegaskan karyanya bukan untuk mencetuskan perkauman dan menghina bangsa Melayu tetapi mengajak kepada perpaduan dan keharmonian sesama rakyat Malaysia.

Namewee, nama sebenar Wee Meng Chee berkata filemnya berdasarkan kisah sebenar, iaitu tentang rusuhan di  sekolah melibatkan sekumpulan pelajar samseng.

“Saya ingin tekankan tentang perpaduan dan toleransi antara pelbagai kaum di Malaysia melalui filem ini dan berharap agar setiap kaum lebih harmoni dan muhibah, bukannya berpecah dan menyebabkan konflik,” katanya dalam rakaman video yang dimuat naik di Facebook.

Katanya, tindakan pemuda Perikatan Nasional (PN) membuat laporan polis terhadapnya adalah tidak wajar kerana poster filem Babi itu dibuat berdasarkan latar belakang dinding di tandas sekolah terbabit.

Katanya dalam poster itu bukan sahaja terdapat perkataan yang menghina Melayu, malah kaum lain turut dihina dengan perkataan yang sensitif.

Penyanyi rap itu juga berkata dirinya tidak ada niat buruk apabila memutuskan untuk tidak memohon tayangan Babi di Malaysia.

Sebaliknya katanya ia akan ditayangkan di Taiwan dalam sebuah festival filem antarabangsa.

“Saya harap semua kaum bersatu dan menjadikan Malaysia negara lebih baik.

“Kalau saya betul-betul benci orang Melayu dan orang Islam kenapa saya perlu buang duit untuk melakukan perkara-perkara ini,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post