Sharifah Sakinah dah bertemu pengganti





PELAKON Sharifah Sakinah, 31, mengakui sedang bercinta dengan jejaka Inggeris.

Sakinah yang bercerai dengan Aliff Adha pada Mei lalu mengakui mula mengenali lelaki terbabit selepas tempoh edahnya tamat.

"Saya gembira dengan keadaan sekarang dan bersifat telus bercakap mengenainya. Ya, saya sudah bertemu pengganti. Kami memang sekepala dan dia seorang jejaka yang baik.

"Kami juga berkongsi tarikh lahir yang sama namun dia tua 10 tahun daripada saya," katanya sewaktu ditemui di acara produk Wholly Fitz, jenama yang melantiknya sebagai duta.

Pelakon filem Pekak itu turut berkongsi dia kini sibuk dengan jadual seni termasuklah penggambaran sebuah drama untuk platform penstriman Viu.

"Sekarang saya dalam proses penggambaran untuk saluran itu. Kemudian, saya akan ada projek bersama kerajaan iaitu Fit Malaysia X.

"Pada November nanti, KL Gangster Underworld 2 pula akan ditayangkan. Banyak lagi sebenarnya tapi saya tak ingat," katanya.

Dalam pada itu, Sakinah bersyukur anak perempuannya, Anais Adha yang kini berusia tiga tahun masih belum faham mengenai perceraian dengan bekas suami.

"Sekarang kami gilir seminggu menjaga anak kami. Sedih pula apabila memikirkan mengenainya.

"Dia masih kecil dan belum mengerti. Tapi lebih baik jadi sekaranglah (perceraian)," katanya.

Sakinah dan Aliff melangsungkan pernikahan pada 28 Mac 2015. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata.

Post a Comment

Previous Post Next Post