PENYANYI Stacy Anam, 30, mengakui pengalaman kali pertama dia berpuasa Ramadan ketika berusia 19 tahun agak menyukarkan.
Pemilik nama sebenar Ummu Syaikhah Stacy Anam ini berkata ketika itu, dia menyertai Akademi Fantasia 6 (AF6) pada 2008 dan rasa tercabar melihat rakan lain beragama Islam berpuasa.
"Melihat kesabaran mereka berpuasa dalam keadaan gembira, seronok dan tenang, buat saya rasa terpanggil nak cuba berpuasa. Saya nak belajar dan lalui pengalamannya.
"Jujur diakui, apabila berpuasa buat pertama kalinya sangat menyukarkan saya. Ia tak mudah macam saya fikir dan lihat rakan-rakan AF6 lain melakukannya.
"Ketika berpuasa itu, masalah utama saya ialah air. Saya sangat dahaga dan rasa terseksa apabila tak dapat minum air. Apatah lagi, saya pula memang terbiasa minum air banyak," katanya.
Stacy berkata, satu cabaran besar buat dirinya untuk terus bertahan sehingga waktu berbuka. Apapun, rakan-rakan yang memberi semangat untuk bertahan.
"Apabila berbuka, sudah tentulah air yang saya dapatkan dahulu. Terasa tekak kembali segar dan bernyawa semula selepas dapat minum air sepuasnya.
"Melalui pengalaman itu, saya belajar yang orang berpuasa harus bersabar, memiliki ketahanan fizikal dan mental yang kuat dan niat kena ikhlas.
"Saya pula ketika itu, niat nak belajar puasa sekadar suka-suka dan mencabar diri. Jika rakan- rakan AF6 yang lain boleh buat, kenapa tidak saya kerana berasakan puasa itu mudah," katanya.
Hampir lima tahun memeluk Islam sejak Ogos 2015, Stacy yang berkahwin dengan penyanyi Akim Ahmad pada 2016 berkata, kini dia sudah tiada masalah berpuasa penuh ketika Ramadan.
Katanya, apabila berkeluarga dan memiliki anak dia perlu memberi contoh yang baik termasuk sentiasa motivasi diri. Ujar Stacy, alhamdulillah setakat ini Allah banyak membantu mempermudahkan.
Menurut ibu dua anak iaitu Bella Deluna, 8 dan Eshaal, 3, ini, dia bersama suami, sudah mula melatih anak mereka, Bella untuk berpuasa dan ia disifatkan cabaran besar kerana masalah utama semestinya air.
"Apapun, setakat ini Bella dah mampu berpuasa penuh dan sebagai ganjaran hadiah untuknya, saya akan masakkan apa saja hidangan kesukaan Bella tapi tak boleh pedas," katanya.