Pelakon Maya Karin secara tidak sengaja bergelar peniaga burger bakar sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Maya berkata, ia bermula apabila seorang rakannya meminta dia menyimpan alat pembakar dan kiosk besar di kawasan rumahnya di Kampung Sungai Penchala, Selangor.
"Dia hanya nak tumpangkan sekejap, tapi katanya gunalah kalau saya nak buat apa-apa. Saya kemudian terfikir ketika ini dalam PKP dan ada baiknya saya buat burger untuk jiran-jiran dan orang kampung di sini. Mereka bukanlah orang susah, tapi memerlukan juga pertolongan kecil. Daripada duduk rumah tengok TV, baik saya mulakan projek memasak burger bakar untuk jiran-jiran," katanya.
Menurut Maya, pada awalnya dia hanya menyiapkan 25 biji burger bakar untuk projek yang dimulakan sejak dua minggu lalu.
"Saya hantar kepada mereka dan semuanya sangat bersyukur dan gembira. Hari kedua pun saya lakukan yang sama dan seronok beri makanan percuma kepada orang yang memerlukan.
"Dari situ, saya dapat maklum balas sangat hebat dan positif. Ramai yang menghantar WhatsApp dan menghubungi ibu saya bertanya macamana nak dapatkan burger itu lagi," katanya.
Maya tidak menyangka kelazatan burger bakar itu cepat tersebar luas dalam kalangan penduduk sekitar.
"Mereka minta saya buat lagi dan tak kisah untuk bayar. Bermula dari situlah saya hasilkan burger bakar untuk dijual. Sedikit demi sedikit saya dah mula pasarkan di sekitar Sungai Penchala, Taman Tun Dr Ismail, Bukit Lanjan dan Damansara.
"Semakin hari semakin rancak pula. Kalau dalam lakonan saya ambil tawaran filem yang berkualiti, begitulah juga caranya apabila buat burger bakar kerana saya akan pastikan sedap dan orang gembira menikmatinya," katanya.
Maya beruntung kerana mempunyai pelanggan tetap yang kerap membeli burger bakarnya itu.
"Saya sudah kenal setiap pembeli dan tahu kesukaan mereka. Permintaan terlalu rancak hingga ada terpaksa dibatalkan kerana tak cukup masa. Maklumlah jam 8 malam sudah tidak boleh memasak kerana penghantar makanan hanya boleh menghantar makanan sehingga waktu itu saja.
“Perkara positif yang saya belajar ialah gunakan masa terluang dengan baik, belajar menyelami peniaga warung dan kiosk cari makan dengan terpaksa berdiri empat hingga lima jam di depan api. Selain itu, saya juga dapat beri pendapatan kepada lima anak muda yang tak bekerja dan tak boleh bekerja semasa PKP sebagai penghantar makanan," katanya.
Maya turut mendapat tempahan dari Balai Polis Taman Tun Dr Ismail dan dia memberikan potongan harga.
"Malam esok, saya akan buat 50 burger bakar untuk anggota keselamatan yang terbabit dalam operasi sekatan jalan raya sekitar Damansara dan Taman Tun Dr Ismail.
"Saya juga dapat kebenaran pihak berkuasa untuk menghantar burger bakar ini," katanya.