Sajat kongsi video menangis cium Kaabah




Usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat seolah-olah tidak mengendahkan kecaman masyarakat apabila dia terus berkongsi foto dan memuat naik video dia mengenakan jubah wanita dan bertudung di Instagram ketika mengerjakan ibadat umrah di Makkah.

Malam tadi, Sajat memuat naik video dia menangis dan mencium Kaabah di Insta Story. Dia juga memuat naik beberapa gambar dia mengenakan jubah wanita berwarna hitam selain turut berpurdah di Masjid Nabawi, Masjid Quba dan Bukit Uhud di Madinah.

Ahli perniagaan popular itu turut menulis kapsyen antaranya, ‘Ampunkan aku Ya Allah, aku seorang pendosa’, ‘Ya Allah, maafkan aku, aku bersujud pada-Mu Ya Allah’ dan ‘Alhamdulillah, yang baik datangnya dari Allah, yang jahat datangnya dari kita’.


Dalam pada itu, Sajat turut menutup ruang komen di Instagram dipercayai kerana tidak mahu terus menerima kecaman netizen.

Difahamkan, Sajat bersama keluarga, rakan serta mutawwif sudah pulang ke tanah air pagi semalam, awal sehari daripada tarikh sepatutnya mereka pulang.

Mereka dikatakan membeli tiket penerbangan sendiri tanpa melalui agensi umrah Albayt Travel (M) Sdn Bhd, dan tiba di tanah air kira-kira jam 5 pagi.

Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi Sajat bagi mendapatkan reaksinya berhubung isu terbabit tidak berjaya apabila dia tidak menjawab panggilan telefon dan membalas mesej WhatsApp.

Post a Comment

Previous Post Next Post