Fauziah Latiff terima ketentuan jika ada jodoh




Penyanyi dan pelakon terkenal, Fauziah Latiff mengakui dia tidak menutup pintu hatinya jika ditakdirkan bertemu jodoh semula pada masa depan.

Menurut Fauziah, 48, dia juga hanya menyerahkan soal jodoh pada ketentuan Tuhan.

“Saya tidak berani bercakap sudah menutup pintu hati dan sebagainya lagi.

“Soal jodoh ini urusan Tuhan, kalau ada adalah dan kalau tiada pun saya tetap terima ketentuan-Nya,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas dakwaan dirinya bakal berkahwin seperti yang heboh diperkatakan ramai sebelum ini, Fauziah enggan mengulasnya.

“Itu cerita lama yang berlaku beberapa tahun lalu. Biarlah, saya tidak mahu bercerita mengenainya lagi kerana cerita itu sudah pun berlalu.

“Saya kini bahagia dengan kehidupan bersama dua anak dan ahli keluarga,” katanya.


Dalam perkembangan lain, katanya, dia kini sibuk mempromosikan Port Seni miliknya yang beroperasi Ara Damansara.

“Selain kelas vokal, piano dan gitar, ada kelas tarian seperti zumba.

“Pada usia sekarang, saya sedar, kadar metabolisme semakin kurang, saya perlu mengamalkan gaya hidup sihat untuk mengekalkan tahap kesihatan yang baik,” katanya.

Kali pertama Fauziah berkahwin dengan Syed Budriz Putra Syed Amir Zainal Abidin Jamalullail pada 1992 dan bercerai selepas tiga tahun berkahwin.

Selepas lima tahun berstatus solo, Fauziah berkahwin buat kali kedua dengan ahli perniagaan, Johan Indot di London tetapi bercerai pada 2007.

Hasil perkahwinan kedua itu, Fauziah dikurniakan dua cahaya mata lelaki Jeffri Joaquim, 20, dan Jeremy Jay, 18.


Post a Comment

Previous Post Next Post