Kemenangan Han Byul cetus perbalahan netizen




Kemenangan Han Byul atau nama sebenarnya Jang Han-byul, 29, diadili sepenuhnya oleh juri dan pilihan penonton tanpa melibatkan campur tangan Astro.

Kemenangan Han Byul penyanyi dari Korea Selatan merangkul gelaran juara dalam pertandingan nyanyian, Big Stage musim kedua mengetepikan tiga peserta dari Malaysia menimbulkan kontroversi kononnya Astro mengiktiraf bakat dari luar berbanding penyanyi tempatan.

Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd. Kamal berkata, kemenangan Han Byul atau nama sebenarnya Jang Han-byul, 29, diadili sepenuhnya oleh juri dan pilihan penonton tanpa melibatkan campur tangan Astro.

Katanya, peserta dari Malaysia telah memberikan saingan sengit untuk berentap dalam peringkat akhir Big Stage musim kedua semalam, tetapi rezeki memihak kepada Han Byul.

"Astro tidak terlibat dengan sebarang keputusan sama ada Han Byul atau Neeta untuk menang dalam pertandingan akhir Big Stage musim kedua.

"Kami tidak pernah melabel bakat Malaysia sebagai tidak baik, sebaliknya berdasarkan persembahan, Han Byul dan Neeta semalam, masing-masing memberikan saingan sengit. Rezeki pada malam ini telah tertulis milik Han Byul," katanya.

Selain Han Byul dan Neeta Manisha, turut beraksi di pentas akhir Big Stage musim kedua ialah Adzrin, Irfan Haris dan Dinda Permata (Indonesia).

Tempat kedua dimenangi Neeta, tempat ketiga, dimenangi Adzrin manakala tempat keempat dan kelima masing-masing milik Irfan dan Dinda.

Konsert akhir Big Stage yang dihoskan Alif Satar dan Sherry Al Hadad menampilkan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Cakra Khan sebagai juri tetap dan Misha Omar sebagai juri jemputan.

Markah penjurian terbahagi kepada 70 peratus daripada juri dan 30 peratus undian penonton.

Mengikut markah penjurian, Neeta berada pada tangga teratas dengan 60.90 peratus diikuti Han Byul 60.67 peratus. Namun 30 peratus undian peminat menyaksikan Han Byul mencatatkan keputusan 9.66 peratus, manakala Neeta, 7.76 peratus.

Keputusan itu sekali gus meletakkan Han Byul sebagai juara Big Stage musim kedua dan membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000, sebuah Perodua Axia Style dan telefon pintar Vivo 17 pro berserta trofi.







Post a Comment

Previous Post Next Post