Aagak lama merahsiakan perkara sebenar, pelakon Zainol Johari Macwilson akhirnya mendedahkan punca sebenar tidak hadir ke majlis persandingan anak sulungnya Zahirah dengan Aiman Hakim Ridza di Perth, Australia, pada 8 Jun lalu kerana diugut.
Zainol, 61, berkata, dia tidak dapat bersama pada majlis itu kerana terpaksa pulang ke Perlis selepas menerima ugutan daripada bekas suami isterinya berikutan hak penjagaan anak kedua pasangan itu.
“Saya bawa isteri dan anaknya yang berumur enam tahun tinggal bersama di Australia sejak Mac lalu.
“Bekas suaminya tiba-tiba hantar mesej menyoal kenapa membawa anaknya tanpa memberitahunya terlebih dahulu dan meminta supaya membawanya pulang segera ke Malaysia.
“Jika tidak berbuat demikian, dia akan buat laporan polis dan mengatakan sanggup membayar semula tiket penerbangan untuk anaknya,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, pada peringkat awal, individu terbabit tidak pernah ambil tahu berkenaan nasib dua anak di bawah jagaan bekas isterinya itu walaupun jarak rumah hanya 10 minit perjalanan.
“Pernah berlaku dia tak datang tengok anak kedua ini selama enam bulan. Jadi saya ambil keputusan bawa isteri dan anak kedua ini ke Perth.
“Manakala anak sulung isteri sudah besar berusia 19 tahun. Dia enggan ikut ke Perth dan tinggal di rumah pusaka keluarga isteri,” katanya.
Zainol berkata, apabila perkara itu diketahui oleh individu terbabit, dia mula bertindak di luar dugaan.
“Tahun lalu, isteri dengan bekas suaminya sudah selesaikan perkara ini di Mahkamah Syariah Kangar untuk mendapatkan hak penjagaan anak.
“Pegawai Sulh di situ memberikan hak penjagaan anak sepenuhnya kepada ibunya dan bapanya ada hak mengambilnya hujung minggu. Namun dia mengabaikannya dan memberi pelbagai alasan tidak logik,” katanya.
Katanya, dia tidak gentar dengan ugutan individu terbabit, namun memberikan kebenaran kepada isterinya untuk pulang ke Perlis bersama anaknya.
“Saya jelaskan kepada isteri yang saya kena ada di Perth kerana Zahirah nak bertunang. Tapi isteri rasa takut sekiranya dia diapa-apakan oleh bekas suami.
“Namun memikirkan saya yang bawa isteri dan anaknya ke sini, saya akhirnya buat keputusan pulang bersama isteri.
“Sebaik kami sampai ke Perlis, dia datang ambil anak keesokan harinya. Isteri memberitahu tugas rutin yang perlu dibuat untuk anak mereka iaitu menguruskan persekolahannya pagi dan petang,” katanya.
Zainol memberitahu, individu terbabit mula berdalih apabila memberikan alasan akan mengganggu tugas sehariannya.
“Disebabkan itu, kami minta surat pengesahan daripadanya yang memberikan kebenaran untuk membawa anak kedua ini berhijrah ke Perth dan ia sudah pun diperoleh.
“Insya-Allah ia akan memudahkan lagi proses permohonan taraf penduduk tetap. Surat ini akan diserahkan kepada pihak berkuasa imigresen Australia,” katanya.
Zainal berjanji akan memberikan didikan terbaik buat anak tirinya sehingga berjaya.
“Saya ada empat anak dan alhamdulillah kesemuanya berjaya. Walaupun bercerai dengan ibu Zahirah, saya dah menjalankan tanggungjawab sebagai ayah yang baik.
“Saya didik mereka dengan baik, penuh disiplin dan berjaya dalam pelajaran. Tiga anak berjaya masuk universiti dan yang bongsu pun cemerlang dalam pelajaran.
“Kalau dulu ada warganet yang bersangka buruk dengan saya kerana tak hadir ke majlis pertunangan Zahirah, inilah jawapan sebenarnya. Tak betul jika ada yang anggap saya dilarang atau dihalang hadir ke majlis itu,” katanya.