Komposer dan penerbit, Aubrey Suwito menjelaskan, penyanyi lagu Kasihku Selamanya, Datuk Seri Siti Nurhaliza hanya mengambil masa kurang dua jam bagi merakamkan lagu tersebut.
Aubrey menjelaskan, sikap profesional Siti menyebabkan kerja-kerja rakaman di studionya menjadi mudah dan cepat.
“Siti hanya mempunyai masa sehari sahaja untuk rakam lagu berserta klip videonya.
“Jadi, sikap profesionalnya telah memudahkan kerja kami pada hari berkenaan,” katanya kepada Kosmo! Online.
Kasihku Selamanya merupakan lagu runut bunyi bagi filem seram Dendam Pontianak.
Filem terbitan rumah produksi dari Singapura, Tiger Tiger tersebut menampilkan barisan pelakon tempatan seperti Nur Fazura, Remy Ishak dan Wan Hanafi Su.
Dalam pada itu, Aubrey berkata, Siti tidak mempunyai sebarang masalah sehingga perlu melakukan proses rakaman secara berulang-ulang.
“Tiga baris pertama lagu Kasihku Selamanya dinyanyikan secara mudah dan ia dilakukan hanya dengan sekali rakaman.
“Saya kemudiannya meminta Siti untuk ulang rakam bahagian yang serupa, tetapi rakaman pertama juga yang terbaik,” katanya lagi.
Kasihku Selamanya dilancarkan semalam dan boleh distrim menerusi semua pelantar muzik digital.
Sejak dilancarkan, lagu tersebut menduduki tangga nombor satu di carta iTunes Malaysia.