Remy Ishak Nak jadi isteri saya? Buang rasa jealous




Walaupun belum mempunyai calon isteri, pelakon popular Remy Ishak sudah memilih tarikh 20 Februari tahun depan bagi melangsungkan perkahwinan.

Remy, 37, berkata, tarikh itu dipilih sebagai persediaan melangkah ke fasa baru dalam hidupnya selepas putus tunang baru-baru ini.

“Kalau sudah ada calon, esok juga saya nak kahwin. Saya memang nak kahwin, tapi apakan daya jodoh tak sampai lagi. Cuma tarikh saja yang sudah ada iaitu 20 Februari tahun depan. Jadi, saya mempunyai masa beberapa bulan lagi untuk mencapai misi itu.

“Orang cakap saya terlalu memilih, tapi dalam soal perkahwinan memang kena pilih. Kita nak berkahwin untuk tempoh yang lama dan kalau boleh kekal selamanya. Bukan nak sekejap saja. Saya tak nak selepas beberapa tahun berkahwin timbul masalah,” katanya.

Remy berkata, dia masih mencari calon sesuai untuk dijadikan pasangan hidup dan menjalani kehidupan sebagai suami isteri.

Remy mengakui wanita yang bakal menjadi pasangannya hidupnya perlu membuang sifat cemburu.

“Menjadi isteri saya memang susah. Pertama, kena buang rasa cemburu. Kalau sudah cemburu, tidak akan ada yang positif. Dari situ akan wujud sikap mengongkong. Saya pula nak bergerak dan membawa keluarga ke arah bahagia dan berjaya. Kalau itu berlaku ia akan menjadi susah.

“Saya berada dalam bidang hiburan dan mempunyai ramai peminat wanita. Selepas ini perkara yang tak ada apa, dijadikan masalah pula. Saya tak mahu semua ini.

“Jika saya cuba kawal sekali pun, susah. Cemburu dengan perempuan ibarat irama dan lagu. Takkan saya nak berhenti berlakon? Kalau berhenti sekali pun, perkara sama tetap terjadi,” katanya yang kini menjalani penggambaran drama bersiri empat episod, Ombak Rindu bagi tayangan iflix.

Dalam drama itu, Remy bergandingan dengan Izara Aishah, Datin Diana Danielle, Fahrin Ahmad, Hanna Aqeela dan ramai lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post