Pelakon sensasi Izreen Azminda telah selamat melahirkan seorang anak lelaki pada pukul 1.46 pagi Sabtu lalu di sebuah hospital swasta di sini.
Bayi yang dinamakan Aaron Ibrahim itu merupakan anak kedua Izreen, tetapi yang pertama hasil perkongsian hidup dengan pemuzik Muhammad Radzi Abdul Wahid atau dikenali sebagai Ude.
“Syukur alhamdulillah. Semuanya berjalan dengan lancar dan baik sekali. Terima kasih bagi semua yang mendoakan untuk saya dan baby (anak),” tulisnya dalam satu entri di akaun Instagramnya sebentar tadi.
Pelakon yang popular dengan drama Ahli Mesyuarat Tingkap itu turut mempunyai seorang lagi anak lelaki, Muhammad Adrian Umar yang kini berusia enam tahun hasil perkawinan pertamanya dengan seorang jurukamera, Muhammad Riza.
Izreen, 34, dan Ude, 31, berkahwin pada 8 Ogos 2017.
Ude memiliki dua orang anak lelaki Arish Muqri, 4, dan Ariq Muqri, yang berusia dua tahun menerusi perkahwinan pertamanya dengan bekas isteri, Intan Liana Saleh.