Irma Hasmie Laksana tugas sebaik mungkin, elak perkara memeningkan




Pelakon yang kini aktif mengacara, Irma Hasmie mengakui pernah berhadapan dengan dugaan dalam rumah tangga namun sebagai isteri dan ibu dia cuba melakukan tanggungjawabnya sebaik mungkin.

Irma memberikan reaksi berkenaan apabila ditanya mengenai isu perceraian membabitkan pasangan selebriti.

Katanya, dalam kehidupan berkeluarga, tidak semua indah. Ada ketika Irma dan suami berhadapan dengan dugaan.

Namun dia sebaik mungkin cuba tidak memikirkan perkara negatif yang boleh mengganggu-gugat ikatan perkahwinannya.

Membicarakan mengenai perihal rumah tangga dan isu cerai tegasnya, seorang isteri tidak mampu untuk mengawal semua perkara termasuklah suami sendiri.

“Kalau dia nak buat perangai macam mana kita halang pun dia akan buat juga. Daripada kita pening fikir macam mana hendak kawal suami sampai tanggungjawab lain terabai lebih baik kita biarkan.

“Masing-masing sudah diberikan akal untuk berfikir. Tahu apa yang baik dan buruk. Kalau kita halang kalau perkara nak jadi akan jadi juga,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Katanya, sebaiknya seorang isteri mahupun suami mengawal diri sendiri kerana mereka tidak mampu untuk mengawal manusia lain, lebih-lebih lagi yang berakal panjang.

Mengelak untuk pening memikirkan perkara terbabit kata Irma, dia sendiri akan memastikan melakukan tanggungjawabnya sebaik mungkin.

Menurutnya, apabila seorang isteri dan ibu itu melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin, apabila berlaku perceraian mereka tidak akan dipersalahkan.

“Kalau kita sudah melaksanakan tugas sebaik mungkin, kalau perceraian itu berlaku kita tidak akan menyalahkan diri sendiri.

“Kita akan menjadi hamba yang lebih reda dan menganggap segalanya sudah ditentukan Allah,” katanya

Post a Comment

Previous Post Next Post