Sam sudah membuat laporan polis pada Isnin lalu.
Pelakon Shaheizy Sam meminta orang ramai tidak terpedaya dengan skim pelaburan mata wang digital yang diiklankan sebuah syarikat dengan menggunakan namanya seperti mana tular di media sosial.
Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 37, berkata, biarpun dia sudah menjelaskan penipuan itu di laman sosialnya namun masih ramai lagi yang menyatakan minat untuk menyertai skim berkenaan.
"Saya langsung tidak tahu menahu tentang mata wang Bitcoin, namun tiba-tiba nama saya tular di laman sosial dengan mengatakan saya pernah muflis dan kini sudah kaya-raya selepas menyertai sebuah syarikat pelaburan mata wang digital.
Laporan palsu yang tersebar di media sosial.
"Namun masih ada lagi beberapa individu menjelaskan hasrat berminat untuk menyertai pelaburan yang kononnya disertai saya, tolong jangan ambil keputusan terburu-buru.
"Saya tidak tahu ia betul atau salah tapi cara mereka menggunakan nama saya tanpa kebenaran sudah terbukti salah" katanya.
Pelakon filem Polis Evo ini menjelaskan perkara tersebut melalui satu video di Instagram pada Rabu.
Saya langsung tidak tahu menahu tentang mata wang Bitcoin
Dalam pada itu, suami kepada pelakon Syatilla Melvin berkata, dia sudah membuat laporan polis di Balai Polis Ukay Perdana, Ampang Jaya, pada Isnin lalu.
Tindakan itu diambil sebagai langkah membersihkan namanya yang terkait dengan aktiviti tersebut.
"Zaman sekarang ni ramai 'scammer', tolong berjaga-jaga apabila berurusan dengan jumlah wang banyak.
"Jangan senang-senang bagi orang duit, semoga Allah lindungi kita semua," tambahnya.