Wan Maimunah rindu anak di Jerman




Wan Maimunah sentiasa mendoakan kebahagian dan kesejahteraan hidup seorang anaknya yang kini menetap di Jerman.

Dramatis terkenal, Wan Maimunah berkata, dia sentiasa mendoakan kebahagian dan kesejahteraan hidup seorang anaknya yang kini menetap di Jerman.

Kata pemilik nama sebenar, Wan Maimunah Wan Abdul Aziz itu, anak lelakinya yang bernama Mohd. Azra itu berkemungkinan tidak dapat pulang bersama bersamanya tahun ini.

"Walau di mana dia berada, saya sentiasa mendoakan agar Allah sentiasa menjaganya. Ibarat kata pepatah, air yang dicincang tidak akan putus.

"Anak saya itu sekarang menetap di Jerman bersama isteri dan keluarga mertuanya di sana. Menantu saya ada hubungi saya mungkin tidak dapat pulang beraya bersama.

"Terima mesej daripadanya pun saya sudah bersyukur. Alhamdulillah. Walaupun tinggal berjauhan daripada saya, mereka tetap menjaga pertalian dengan baik. Rindu tapi saya tidak pernah berasa kosong atau dipinggirkan," kata pelakon filem Jimi Asmara itu kepada Kosmo! Online sebentar tadi.

Ditanya bagaimana persediaan menyambut lebaran tahun ini, Wan berkata, dia akan menyambut bersama anak-anak angkatnya di Melaka.

"Alhamdulillah, saya dikurniakan Allah anak-anak angkat yang sentiasa berada di sini saat saya sedih dan gembira.

"Tahun ini beraya di Melaka tidak balik Kelantan kerana tahun ini kebanyakan anak angkat giliran mereka sambut raya di negeri ini.

"Persediaan raya sederhana saya. Saya sibuk menganyam ketupat dan rezeki sentiasa ada. Anak-anak angkat saya baru sahaja belikan daging kerbau untuk dijadikan juadah raya pertama esok," katanya yang memiliki ramai anak angkat.

Dalam pada itu, disuakan pertanyaan berkenaan hasratnya untuk sekali lagi berumah tangga yang mendapat maklum balas pelbagai warganet, Wan Maimunah menegaskan, juga berhak berbahagia walaupun sudah berusia 62 tahun.

Ujarnya, hanya dia sahaja yang faham perasaan yang terbuku di hati apabila terdapat segelintir pihak yang memperlekeh hasratnya untuk berumah tangga tempoh hari.

"Saya ingat mencari seorang imam. Saya ingin berkahwin bukan sebab nafsu. Hanya ingin mencari kebahagian walaupun usia sudah senja.

"Orang boleh kata apa sahaja namun bukan mereka yang alami apa yang sedang saya alami. Saya cari lelaki yang boleh bimbing saya je jalan yang direda Allah SWT," terangnya yang bakal muncul dengan sebuah drama raya berjudul Syiling Opah terbitan RTM.

Terdahulu, perkahwinan terakhirnya dengan seorang pengusaha makanan dari Johor pada Disember 2013 sempat bertahan dua tahun sebelum mereka mengambil keputusan berpisah.

Post a Comment

Previous Post Next Post