Siti Nurhaliza berkongsi rezeki Syawal




Tiada apa yang lebih meruntun jiwa penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza apabila melihat anak-anak kecil meraikan Syawal tanpa kehadiran ibu bapa.

Menurut Siti, beliau menjadi lebih sensitif tentang anak-anak kecil sejak bergelar ibu kepada Siti Aafiyah yang kini berusia setahun dua bulan.

Justeru, demi menceriakan kehadiran Syawal yang akan disambut seluruh umat Islam di Malaysia esok, Siti membuat kemunculan istimewa menemui 27 orang penghuni Rumah Kasih Nurul Hasanah di Ampang Jaya, Selangor. Kebanyakan penghuni di situ berusia antara tujuh sehingga 17 tahun.

Lebih istimewa, momen tersebut dirakamkan dan bakal disiarkan menerusi slot istimewa dalam program MeleTOP Raya pada pukul 8.30 malam ini menerusi Astro Ria dan Ria HD.

“Sebelum ini, hati saya memang cepat tersentuh apabila melihat kanak-kanak yang serba kekurangan, tetapi perasaan sensitif bertambah kuat sejak bergelar ibu.

“Setelah memiliki anak, baru saya tahu betapa dalamnya kasih seorang ibu. Namun, segelintir anak-anak di Rumah Kasih Nurul Hasanah yang merupakan anak yatim tidak akan merasai nikmat Syawal bersama ibu atau bapa,” Siti memulakan bicara.

Memikirkan situasi tersebut, penyanyi yang baru muncul dengan lagu terbaharu berjudul Ikhlas itu cuba meringankan beban mereka dengan menghulur bantuan dalam bentuk pemberian barangan dan meluangkan sedikit waktu menghiburkan hati mereka.

“Ketika saya masih kanak-kanak, biarpun tidak hidup mewah, tetapi setiap kali raya kami sekeluarga pasti akan berkumpul. Saya sentiasa gembira menantikan hari raya.

“Bagaimanapun, sambutan Syawal anak-anak yatim dan golongan asnaf tidak sama kanak-kanak lain. Kehadiran saya diharapkan sedikit sebanyak dapat menggembirakan mereka,” kata Siti.

Tradisi

Tambah Siti, beliau dan suami menjadikan amalan bersedekah kepada anak-anak yatim sebagai tradisi tahunan sekeluarga setiap kali tibanya Ramadan.

Sama seperti orang lain, Siti turut mengejar pahala berlipat kali ganda yang dijanjikan Allah buat hamba yang beramal dan bersedekah pada bulan penuh kemuliaan itu.

“Berdasarkan pengalaman saya menunaikan umrah pada bulan Ramadan, orang di sana berebut-rebut sehingga bergaduh semata-mata mahu memberi sedekah.

“Hal ini kerana, mereka tahu amalan bersedekah pada bulan Ramadan akan memperoleh pahala berganda. Suasana tersebut membuatkan saya sebak dan cuba menjadi insan yang lebih baik,” tutur Siti.

Luah Siti lagi, besar harapannya tradisi bersedekah akan diteruskan oleh Aafiyah apabila dewasa kelak.

“Sememangnya, setiap tahun saya dan suami bersedekah kepada anak-anak yatim. Namun, saya berharap Aafiyah akan meneruskan tradisi ini sampai bila-bila sebaik dia mula faham bahawa memberi lebih baik daripada menerima.

“Sebagai ibu, saya mahu Aafiyah membesar sebagai insan mempunyai belas kasihan kepada orang lain. Jadi, bagi mencapai perkara tersebut, saya terlebih dahulu harus memberi contoh yang baik kepadanya. Insya-Allah selepas ini saya akan membawanya melawat rumah anak-anak yatim,” ungkap Siti penuh pengharapan.

Teruja

Berkongsi sedikit tentang sambutan Syawal, Siti yang baru pulang daripada menunaikan umrah bersama keluarga akan beraya di Kuala Lumpur terlebih dahulu.

Kebiasaannya, Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa tidak membuat perancangan khusus untuk pulang beraya, sebaliknya bergantung pada keadaan semasa.

“Suami pasti mahu beraya dengan anak-anaknya di Kuala Lumpur terlebih dahulu. Selepas itu, barulah kami merancang, sama ada mahu pulang ke Kedah atau Kuala Lipis, Pahang,” kongsi Siti.

Meskipun begitu, sambutan Syawal tahun ini tambah bermakna buat Siti sekeluarga apabila dapat meraikan bersama permata hati sulungnya buat kali kedua. Seperti kebiasaannya, Siti akan memakai busana sedondon bersama anak dan suami.

“Jika tahun sebelum ini Aafiyah masih terlalu kecil, namun sekarang Aafiyah sudah mula belajar berjalan. Memang agak penat untuk mengejarnya, tetapi rasanya raya tahun ini lebih seronok untuk melihat keletah Aafiyah,” ujar Siti tersenyum lebar.

Post a Comment

Previous Post Next Post