Harga populariti Khai Bahar




Tempoh tiga tahun bergelumang dalam arena seni sebagai seorang penyanyi, banyak siri kejayaan yang telah dikecapi pemilik nama sebenar, Muhammad Khairul Baharuddin atau lebih dikenali dengan nama pentas Khai Bahar.

Setakat ini, daripada 24 pencalonan yang diterima daripada pelbagai acara anugerah, Khai, 25, berjaya menggondol 21 trofi daripada jumlah tersebut.

Antara trofi yang tersusun kemas dalam rak almari rumahnya termasuklah untuk anugerah Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular sebanyak dua kali dan Artis Paling Popular Anugerah Planet Muzik (dua kali), selain pernah bertanding pada anugerah berprestij, Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) menerusi single Bayang pada 2018 dan mempertaruhkan lagu Luluh pada AJL33 yang berlangsung awal tahun ini.

Boleh dikatakan, lebih 80 peratus anugerah yang diterima adalah berdasarkan populariti. Disuakan pertanyaan tentang kualiti, jawab anak kelahiran Perlis itu: “Saya rasa semua orang layak kalau mereka bekerja keras.

“Namun, biarpun banyak menang trofi berdasarkan undian peminat atau populariti, saya tidak mahu terlalu memandang ke atas atau mendabik dada kerana bila-bila sahaja seseorang artis itu boleh jatuh.

“Apa yang saya boleh katakan, saya sangat terhutang budi terhadap peminat yang tidak henti-henti memberikan sokongan. Insya-Allah, dari semasa ke semasa, saya akan terus memperbaiki diri untuk menjadi seorang penyanyi yang lebih bagus.”

Khai juga seboleh-bolehnya tidak mahu terpalit dengan kontroversi murahan atau yang bukan-bukan demi melariskan namanya di bibir peminat.

“Saya tidak mahu lari fokus. Orang di luar sana senang sahaja ingin mencari kesalahan kita dan menjual keburukan yang lahir daripada khilaf kita untuk kepentingan mereka.

“Sebagai seorang penyanyi yang masih hijau, lebih baik saya fokus terhadap perjalanan seni dan terus berusaha untuk mengembangkan bakat muzik dan nyanyian,” katanya.

Album perdana

Berbicara lanjut tentang perkembangan semasa, Khai bakal muncul dengan album studio sulung yang memuatkan 11 buah lagu tidak lama lagi.

Lima daripada 11 lagu berkenaan adalah karya baharu yang dilancarkan pada tahun ini, sementara selebihnya adalah lagu lama nyanyiannya.

“Alhamdulillah, buat masa sekarang, lima lagu baharu sudah pun berada dalam platform penstriman muzik seperti iTunes, Spotify dan lain-lain.

“Rasa teruja akhirnya memiliki album studio penuh sendiri. Bila fikir semula, macam tidak percaya kerana saya bermula melalui aplikasi Smule lebih tiga tahun dahulu. Sekarang, saya sudah punya album sendiri,” tuturnya yang kini bernaung bawah syarikat rakaman, NAR Records.

Lima lagu baharu yang akan dimuatkan dalam album tersebut ialah Dia, Keranamu, Menyesal, Penantian dan Air Mata.

Dedah Khai, dia turut terlibat dalam urusan penciptaan lagu untuk karya tersebut.

“Saya terlibat dalam urusan penciptaan lagu untuk tiga buah lagu iaitu Keranamu, Dia dan Air Mata. “Ini adalah persediaan buat saya untuk menggali ruang memperbaiki diri sebagai seorang anak seni. Insya-Allah, selepas ini mungkin saya boleh cipta lagu untuk penyanyi lain pula,” kongsinya optimis.

Tiada tiket balik kampung

Diajak bersembang tentang Syawal yang masih bersisa, Khai berkata, seperti biasa dia pulang beraya bersama keluarga di Perlis.

Mensyukuri rezeki yang semakin melimpah-ruah sebagai penyanyi, Khai turut memikul tanggungjawab untuk membelanjakan sedikit wang untuk ibu bapa dan adik-adiknya yang masih belum berumah tangga.

“Sejak bergelar artis, semua itu memang sudah menjadi tanggungjawab saya.

“Apa yang kurang atau sudah usang di rumah kampung akan diganti dengan baharu,” katanya yang mengambi cuti selama seminggu sempena raya kali ini.

Bercerita tentang pengalaman Aidilfitri yang paling tidak dapat dilupakan, ujar Khai terkenangkan jasa baik seorang pemandu bas sebelum dirinya bergelar artis.

Sekitar tahun 2012, dia pernah hampir tidak dapat pulang beraya di kampung kerana tidak sempat membeli tiket bas.

“Tiket bas habis macam pisang goreng panas. Salah saya juga kerana tidak beli tiket awal, namun saya bernasib baik dibantu oleh seorang pemandu bas. Dia dengan baik hati menumpangkan saya. Sampai sekarang, saya ingat dan akan kenang kebaikan tersebut,” terang Khai.

Sebelum menggulung perbualan, Khai ditanya tentang apakah pengajaran yang sudah dipelajarinya selama tiga tahun bergelar penyanyi.

Ulas Khai: “Kadang-kadang, kita buat silap sikit, itu yang orang akan ingat sampai bila-bila. Itulah harga yang perlu dibayar menjadi seorang selebriti.

“Ada yang kata, suara saya tidak sedap, tidak pandai bergaul dengan orang ramai, tiada ilmu komunikasi yang bagus dan sebagainya, namun semua kritikan itu menjadi panduan atau guru buat saya terus memperbaiki diri.”

Banyak memenangi anugerah berdasarkan undian peminat, penyanyi Khai Bahar sedar kepercayaan tersebut dibayar dengan kualiti karya muzik yang cemerlang.

Post a Comment

Previous Post Next Post