Atikah Suhaime Sibukkan diri dengan bekerja




Tidak jadi berkahwin bukan sebab untuk Atikah Suhaime terus bersedih dan meratapi nasibnya.

Sebaliknya, wanita kelahiran Singapura ini bangkit meneruskan kehidupan dan mengembangkan bakat lakonannya seperti biasa.

Berpeluang melebarkan karier seni di Indonesia sepanjang tahun lalu, Atikah gembira kehadirannya diterima baik di sana.

Filem lakonan Atikah, Kajeng Kliwon bakal menemui peminat di negara itu Ogos depan.

Mengulas perkara itu, Atikah menzahirkan rasa syukur dapat meluaskan kerjaya di Singapura, Malaysia dan Indonesia.

“Syukur, saya berjaya masuk ke persada seni Indonesia atas usaha sendiri. Jika tahun lalu saya aktif di Indonesia, tahun ini sasaran saya Malaysia pula.

“Saya mahu terus sibukkan diri dengan bekerja. Dengan cara itu sekurang-kurangnya saya dapat melupakan kisah sedih dalam hidup,” katanya.

Berkongsi mengenai hubungannya dengan Awie, Atikah mengakui mereka masih berhubung hingga ke hari ini

Menurut Atikah tidak jadi berkahwin bukan bermakna mereka perlu bermusuh.

“Kami sudah berkawan selama tujuh tahun dan ia tempoh yang lama. Walaupun tidak ada jodoh sebagai suami isteri kami tetap berkawan seperti biasa.

“Tidak ada sebab untuk kami bermusuhan apatah lagi kami berada dalam bidang sama,” katanya.

Tidak pernah menutup pintu hati untuk mencari pengganti, Atikah tak menolak jodohnya dengan mana-mana lelaki.

Baginya, setiap yang berlaku itu pasti ada hikmah dan sudah ditetapkan oleh Allah SWT.

“Saya tidak pernah menutup pintu hati selepas apa yang berlaku. Saya sentiasa terbuka dan tidak menolak jika ada jodoh lagi.

“Insya-Allah, sudah diciptakan seseorang untuk saya cuma masa yang akan mempertemukan kami,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post