Siti Nurhaliza teruja bawa Aafiyah tunai umrah




Sambutan Ramadan tahun ini memberi pengalaman berbeza namun penuh makna buat penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza, apabila beliau bakal berangkat ke Mekah untuk menunaikan umrah bersama buah hati kesayangannya, Siti Aafiyah.

Mengikut perancangan, Siti, 40, akan berangkat pada 23 Mei (hari ini) bersama suami dan beberapa ahli keluarga yang lain sebelum kembali ke tanah air pada tanggal 2 Jun depan.

Teruja kerana hasratnya termakbul, pelantun lagu Anta Permana itu berkata, perjalanan istimewa bersama Aafiyah kali ini adalah jawapan Tuhan terhadap titipan doa yang dipanjatkan sejak sebelum hamil lagi.

Malah, beliau juga teruja kerana permintaannya dimakbulkan dalam masa yang cukup singkat dan tidak menunggu lama untuk kali pertama membawa Aafiyah ke Tanah Suci.

“Memang sebelum ini setiap kali mengerjakan umrah, doa yang saya panjatkan adalah agar diberikan rezeki menimang cahaya mata. Andai doa termakbul, saya mahu bawa anak itu datang ke Tanah Suci bersama-sama.

“Alhamdulillah, saya juga tidak sangka Tuhan memakbulkan doa saya begitu cepat sebab dalam usia Aafiyah setahun lebih, dia sudah dapat ke Mekah,” ujar beliau ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama kelab peminat Sitizone dan majlis penyampaian hadiah platinum Universal Music di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, Siti mencatat sejarah peribadi sendiri apabila menerima pengiktirafan 11 platinum untuk lagu nyanyiannya Anta Permana dengan lebih 14 juta tontonan menerusi YouTube.

Kata Siti, pencapaian tersebut adalah hadiah yang sangat bermakna buat diri dan kariernya sejak kembali aktif dalam bidang nyanyian selepas melahirkan Siti Aafiyah pada 19 Mac tahun lalu.

“Alhamdulillah, ini adalah salah satu daripada pencapaian yang diraih bersama pihak Universal Music. Selama bekerjasama, mereka banyak membantu dari segi penjualan album dan lagu saya termasuklah menerusi platform digital.

“Beberapa lagu hits saya menerima pengiktirafan platinum. Ini petanda yang positif untuk kerjaya saya. Syukur atas segala pengiktirafan ini,” katanya yang turut menerima Legend Award daripada Universal Music atas kejayaan yang diraih.

Selain Anta Permana, lagu Comel Pipi Merah dan Mikraj Cinta turut meraih pengiktirafan empat platinum, manakala Cinta Syurga pula menerima pengiktirafan emas.

Sementara bagi penjualan album fizikal dan digital pula menyaksikan tiga album beliau iaitu Fragmen menerima tiga platinum serta Unplugged dan Simetri Siti menerima pengiktirafan emas.

Melakar sejarah tersendiri, Siti juga mengekalkan kedudukannya sebagai Artis Tempatan Paling Banyak Distrim menerusi platform Spotify selama dua tahun berturut-turut bagi tempoh 2017 dan 2018.

Cabaran

Kembali berbicara lanjut tentang persiapan untuk membawa anak kecil mengerjakan ibadah umrah, Siti mengakui urusan tersebut tidak mudah.

Beliau bimbang, jika bersesak dalam kelompok orang yang terlalu ramai membuatkan Aafiyah mudah meragam.

“Saya risau juga tetapi sebelum ini kami sudah biasakan dia dengan beberapa perkara. Contohnya, ketika solat. Supaya dia tahu apa yang kita sedang buat, jadi dia tidak akan kacau.

“Cuma satu hal yang saya bimbang adalah suasana yang sangat ramai orang contohnya di Masjidil Haram. Jadi, saya dan suami perlu fikir waktu yang sesuai untuk bawa Aafiyah keluar.

“Bagaimanapun, kami tidak akan selalu bawa Aafiyah keluar sebab faham dia masih kecil. Kesihatan dan keselesaannya perlu dijaga sebab cuaca di sana juga berbeza,” ujar Siti yang kali terakhir mengerjakan umrah sekitar dua tahun lalu.

Tambah Siti, perjalanan beliau ke Tanah Suci kali juga akan memberi lebih cabaran kerana kehadiran Aafiyah membuatkan dirinya terdedah kepada tumpuan ramai.

Jika sebelum ini setiap kali mengerjakan umrah, beliau mengenakan niqab kerana ingin memudahkan urusan ketika menunaikan ibadah dan mengelakkan jemaah lain hilang fokus.

“Saya ada juga terfikir tentang soal ini sebab tidak mungkin Aafiyah akan memakai niqab pula. Tetapi Aafiyah masih bayi dan tidak wajib menunaikan umrah. Memandangkan pengasuh dan ahli keluarga lain ada ikut sekali, jadi kami boleh bergilir-gilir menjaganya.

“Mungkin ada waktu-waktu tertentu saya akan bawa Aafiyah keluar, saya rasa semua orang akan faham bahawa saya ada anak kecil. Insya-Allah, harapnya semua aktiviti kami dapat berjalan lancar,” katanya yang cukup teruja untuk melalui pengalaman mengerjakan ibadah umrah bersama anak sendiri.

Sedondon

Tahun ini merupakan kali kedua Siti meraikan lebaran bersama Aafiyah yang sudah berusia setahun dua bulan. Gulir waktu berlalu, tumbesaran cahaya mata sulungnya itu menyuntik perasaan lebih seronok untuk dinikmati.

Lebih mengujakan adalah peluang yang bakal terlaksana iaitu menyarung pakaian sedondon bersama Aafiyah.

“Raya tahun ini lebih seronok sebab dia semakin membesar dan sudah mula faham banyak perkara. Dia juga sudah mula boleh berjalan dan mahu cuba buat banyak benda di sekeliling.

“Sebagai seorang ibu, sudah tentu pakaian sedondon bersama anak dan suami akan diutamakan. Jadi saya tidak sabar mahu sarung pakaian sama dengan Aafiyah. Sebab itu jugalah persiapan raya kali ini memang dilebihkan untuk dia,” ujarnya yang menyiapkan sebanyak enam pasang pakaian raya sedondon untuk anaknya.

Post a Comment

Previous Post Next Post