Siti Nurhaliza bawa Aafiyah tunai umrah




Siti Nurhaliza bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan Siti Aafiyah.

Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza, 40, meluahkan rasa terujanya apabila beliau pertama kali bakal membawa anaknya, Siti Aafiyah ke Mekah untuk menunaikan umrah.

Menurut Siti yang bakal berangkat ke Mekah pada minggu depan bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan keluarga, beliau sudah lama menyimpan niat tersebut sejak sebelum hamil lagi.

“Saya selalu berdoa supaya dikurniakan rezeki cahaya mata setiap kali berada di Mekah. Andai diberi rezeki anak, saya mahu bawanya juga ke Mekah.

“Tidak sangka Allah jawab doa saya begitu cepat. Dalam usia Aafiyah baru mencecah setahun lebih dia dapat ke Mekah. Rasanya saya yang menumpang rezekinya,“ kongsi Siti ketika ditemui pada sesi fotografi sebentar tadi.

Selain Mekah, penyanyi yang popular dengan lagu Anta Permana itu turut menyimpan niat untuk membawa anaknya ke Palestin.

“Saya turut berdoa dan menyimpan niat yang sama ketika berkunjung ke Palestin kira-kira dua tahun lalu. Harapnya suatu hari nanti saya dapat membawa Aafiyah ke Palestin pula,” ujar Siti.

Dalam perkembangan lain, Siti bakal melancarkan lagu raya bersama penyanyi dari Singapura dan Indonesia pada masa terdekat.

Post a Comment

Previous Post Next Post